SESI temu duga merupakan medan penentuan bagi seseorang itu sama ada diterima bekerja ataupun tidak dan kebiasaannya ia akan dilakukan sehabis baik oleh si pemohon.
Namun lain pula situasinya bagi sebuah syarikat yang beroperasi di Batu Caves, Selangor, apabila seorang calon temu duga didakwa mencuri sebuah telefon bimbit pada Khamis sebelum sesi itu dimulakan.
Meskipun berpakaian kemas dan kelihatan sopan, ia nyata tidak melambangkan identiti serta rupa paras lelaki tersebut apabila dia melakukan perbuatan terkutuk itu ketika mempunyai kesempatan.
Terdahulu, suspek berkemeja putih dan berseluar hitam itu difahamkan hadir ke lokasi tersebut bagi menghadiri panggilan temu duga bersama pengurus syarikat berkenaan.
Dirakamkan menerusi kamera litar tertutup CCTV, video tular itu menerima lebih 70,000 jumlah tontonan setakat ini.
Menurut pemilik akaun TikTok piqachuew yang juga merupakan salah seorang pekerja di syarikat itu, pihak pengurusan langsung tidak sedar akan kes kecurian terbabit semasa kejadian.
"Lelaki itu datang pejabat pada pukul 4.30 petang dan pemilik telefon mula sedar kehilangan itu sekitar 5.30 petang selepas calon itu pulang.
"Selepas itu, kami semua terus periksa kamera CCTV dan baru perasan yang lelaki itu mencuri semasa menunggu namanya dipanggil," katanya di ruangan komen.
Gagal mendapatkan semula telefon terbabit, pencuri itu dikatakan terus beredar selepas sesi temu duga tamat dan mangsa difahamkan telah membuat laporan polis berhubung kes tersebut.
"Pemilik telah serahkan video tersebut sebagai bahan bukti kepada pihak polis dan berharap orang ramai lebih berhati-hati dengan orang asing walaupun daripada luaran nampak baik," tambahnya.
Namun, setakat ini belum ada sebarang maklumat daripada pihak polis berkaitan kes tersebut dan pihak pengurusan syarikat turut mengakui akan kecuaian kakitangan mereka yang meletakkan telefon secara terbuka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram