SEGELINTIR penunggang motosikal sering kali dilihat melanggar lampu isyarat apabila keadaan sekeliling nampak ‘selamat’ untuk melakukan kesalahan tersebut.
Satu rakaman menerusi kamera badan polis bertugas menjadi bualan ramai apabila video tersebut menunjukkan seorang penunggang motosikal dikejar dari belakang selepas dia melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat merah.
Semasa penunggang motosikal itu bergerak melanggar lampu isyarat merah, pegawai tersebut turut menunggang laju untuk mengejar individu tersebut sebelum kehadiran seorang lagi polis dari arah belakang.
Ketika kejadian, penunggang motosikal itu dilihat memecut laju yang mana menyebabkan polis itu turut mengejarnya dengan pantas.
Namun selepas beberapa saat, polis itu berjaya menahan lelaki tersebut selepas memotong beberapa buah kenderaan di laluan terbabit
Selepas berjaya menahan penunggang motosikal itu, polis dilihat mengeluarkan saman kepada lelaki terbabit kerana melanggar lampu isyarat merah.
Difahamkan kejadian tersebut dipercayai berlaku di sekitar bandar Seberang Jaya, Pulau Pinang dan video tersebut dimuat naik pada Rabu oleh pengguna media sosial.
Di ruangan komen pula, rata-rata orang ramai menyatakan sekiranya penunggang motosikal tersebut bersabar beberapa saat sahaja, sudah pasti dia tidak akan ditahan oleh polis yang kebetulan berada di situ.
"Bila nampak polis itu hormat sikit, terlajak depan pun tak apa berhenti atau tolak kebelakang sikit, kalau pergi juga memang langgar lampu isyarat seakan menduga atau mencabar kredibiliti polis itu," kata Muhammad Rafizi Ahmad.
"Dia tak langgar lampu merah biasa-biasa, laju berdesup juga perginya itu, ambil masa juga nak kejar itu," ujar Luqman Hakim.
"Sabar sikit sahaja Bang, tak pasal-pasal dapat surat cinta dari abang polis, kau memang bertuah hari ini," jelas Chin Soon Goh.
Sebelum ini Majoriti pernah melaporkan kejadian yang serupa, iaitu seorang gadis nyaris menjadi mangsa kemalangan apabila hampir dilanggar sebuah bas gara-gara tidak mematuhi lampu isyarat merah di Kuantan, Pahang.
Pesanan buat pembaca Majoriti, patuhilah undang-undang jalan raya walaupun jalan yang kita lalu ‘nampak’ selamat untuk melanggar lampu merah kerana dari satu kesalahan yang dibuat akan menjadi satu kebiasaan atau tabiat yang tidak baik pula. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram