Berani tembak dulu, polis tembak mati 2 penjenayah kes samun bersenjata di Gurun


  • 112
  • Isnin, 12 Dis 2022

Suspek berusia 60-an yang ditembak mati mempunyai 64 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. — Gambar hiasan

BEBERAPA siri kes samun bersenjata di Kedah berjaya diselesaikan selepas dua penjenayah ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di Gurun, Kedah pada Ahad.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, dua lelaki berusia lingkungan 60-an dan 40-an yang menaiki kereta jenis Proton Iswara itu cuba melarikan diri dengan memecut laju kenderaan sebelum terdengar bunyi tembakan dan percikan api dari arah pemandu dan penumpang hadapan kereta itu.

Beliau berkata, berlaku berbalas tembakan oleh pihak polis untuk mempertahankan diri dan seorang anggota polis terjatuh selepas terkena tembakan yang mengenai ke atas baju kalis peluru dipakainya, namun tidak mengalami kecederaan.

"Kejadian berlaku pukul 11 malam, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah sedang membuat rondaan di sekitar kawasan Sungai Petani, Kedah sebelum menemui sebuah kereta yang mencurigakan.

"Polis cuba menahan kereta tersebut sebelum tiba-tiba kenderaan itu memecut laju. Akibat tindakan penjenayah cuba melarikan diri, polis telah mengejar dan cuba memintas kenderaan tersebut sebelum tembakan dilepaskan,” katanya pada Isnin.

Wan Hassan berkata, polis turut menemui peralatan dipercayai digunakan untuk samun dan pecah rumah seperti parang, pemutar skru dan pedang selain dua pucuk pistol jenis revolver.38.

"Suspek berusia 60-an itu mempunyai 64 rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan dadah. Suspek juga dikehendaki polis bersangkut kes samun berkumpulan dan bersenjata manakala lelaki berumur 40-an itu tiada rekod lampau.

"Kedua-dua mereka dipercayai aktif dalam kes samun bersenjata sejak bulan Mac tahun ini dan polis sedang mengenal pasti sekiranya suspek terlibat dalam kes jenayah di negeri lain seperti Pulau Pinang dan Perlis.

"Setakat ini, sebanyak 16 hingga 20 kes samun yang kita dapat selesaikan ekoran tertumpasnya dua penjenayah ini. Polis percaya terdapat saki baki ahli kumpulan yang terbabit dalam jenayah ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Polis, tembak mati, penjenayah, samun, Gurun, Kedah, Dadah