[VIDEO] Angkara pegang kapak, orang gila mati kena 'headshot' dengan polis


  • Benua
  • Ahad, 11 Dis 2022

Tangkap layar rakaman video menunjukkan pegawai polis menembak mati seorang lelaki di Amerika Syarikat. — Agensi

IBU pejabat polis Jacksonville (JSO), Amerika Syarikat mengeluarkan rakaman video berhubung insiden tembakan polis terhadap seorang lelaki pesakit mental pada Jumaat lalu.

Memetik laporan media antarabangsa First Coast News, seorang pegawai polis menembak mati Kevin Mahan, di Morse Avenue pada April lalu.

Mangsa berusia 43 tahun difahamkan mengalami masalah mental dan memegang senjata tajam seakan-akan kapak.

Dalam video yang dirakam melalui kamera badan itu menunjukkan kejadian sebenar bagaimana insiden itu berlaku. Turut kedengaran suara pegawai dan Mahan pada waktu kejadian.

"Letakkan senjata anda," jerit pegawai tersebut sebanyak empat kali.

"Tuan, tolong dengar...," kata Mahan sebelum dia mengangkat senjata tersebut.

Belum sempat Mahan menghabiskan kata-katanya, pegawai tersebut terus menembak dia di kepala sekali gus menamatkan riwayatnya.

Sementara itu, bekas Detektif Polis JSO, Kim Varner, memberitahu First Coast News kejadian itu belaku dengan pantas selepas melihat rakaman tersebut.

"Saya bercakap dari perspektif diri saya. Saya tidak boleh bercakap untuk pegawai itu dan mengapa dia bertindak demikian.

"Jika saya berada di tempat kejadian, saya akan menunggu sehingga bantuan tiba," katanya.

Jelas Varner, dia pernah berdepan dengan situasi demikian.

"Memandangkan Mahan dianggap sebagai seorang yang mempunyai masalah mental, saya akan cuba memujuknya untuk meletakkan senjata terlebih dahulu.

"Kenapa terus tembak dan tidak memujuknya untuk menjatuhkan kapak tersebut?" katanya.

Difahamkan, JSO belum mengenal pasti pegawai berkenaan kerana anggota itu meminta untuk dilindungi di bawah undang-undang Marsy.

Dalam perkembangan lain, menurut jurucakap polis balai berkenaan, pegawai tersebut tidak lagi digantung tugas dan sudah mula bekerja.

Namun begitu, pihak berkuasa masih lagi menjalankan sisatan lanjut berhubung insiden berkenaan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram