[VIDEO] Kecoh OKU kena kompaun di parkir awam Pantai Morib, ini penjelasan MPKL


  • Tular
  • Selasa, 06 Dis 2022

Tangkap layar seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) mendakwa keretanya disaman tanpa sebab munasabah.

SEORANG lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) mendakwa dirinya dianiaya oleh Pihak Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) selepas kenderaannya dikompaun di Pantai Morib, Banting di Selangor pada Ahad.

Difahamkan, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai roslanjajuli di laman TikTok, menganggap surat kompaun berkenaan sebagai satu perbuatan yang disengajakan bagi mengaut keuntungan.

Lelaki berkerusi roda itu turut berkata, ia merupakan kali pertama dalam sejarah hidupnya disaman gara-gara tidak meletakkan kenderaan di ruangan parkir OKU.

Meskipun posisi kenderaan itu diletakkan dalam ruangan yang betul, lelaki berambut panjang dan berbaju biru itu terpaksa menanggung kerugian denda sebanyak RM300.

Dikongsikan di laman TikTok peribadi, rakaman tular itu hangat diperkatakan warganet.

Susulan kejadian itu, pegawai media MPKL berkata, terdapat salah faham berhubung isu saman tersebut.

"Ia merupakan isu pelekat kereta OKU sebenarnya, kalau di negeri Selangor semua penggunaan pelekat OKU telah diselaraskan dengan bentuk dan rekaan yang sama, jadi jika ada yang berlainan ia satu kesalahan.

"Namun insiden itu bukanlah seperti yang diperkatakan netizen di laman media, sebaliknya surat kompaun yang diberikan merupakan peraturan yang ditetapkan," katanya kepada Majoriti.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan pihak majlis, semakan dijalankan mendapati kenderaan tersebut telah menggunakan pelekat OKU yang berbeza berbanding versi dikeluarkan JPJ dan bukan yang diluluskan oleh Kerajaan Selangor.

Bagi memastikan layanan yang adil kepada semua pihak, adalah menjadi kewajipan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan ke atas kereta pemuda terbabit.

Namun, difahamkan kompaun tersebut boleh dibatalkan sekiranya pihak terlibat dapat mengesahkan status OKU berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, menerusi video berasingan lelaki berkenaan memaklumkan kompaun yang dikeluarkan telah dibatalkan dan dia juga turut diberikan pelekat kenderaan baharu mengikut spesifikasi ditetapkan.

Menyampaikan ucapan terima kasih berhubung tindakan tersebut, lelaki itu turut meminta agar perkara berkenaan dikongsikan secara meluas supaya orang ramai lebih peka dengan peraturan terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram