TERDAPAT segelintir ahli politik dan taikun yang menguasai sesuatu perniagaan dikatakan mula tidak senang duduk susulan pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu monopoli membolot kekayaan pada Isnin.
Terdahulu, Perdana Menteri menerusi sidang media memberitahu telah menegur Hartawan yang juga pemilik syarikat Bernas iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary untuk berhenti 'menghisap darah pesawah miskin'.
Tindakan itu dipercayai menyebabkan ahli politik dan taikun lain mula 'panas punggung' kerana bimbang nama mereka pula akan disebut dalam sidang media seterusnya.
Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
Penganalisis politik, Prof Dr Azmi Hassan berkata, isu membolot kekayaan harus dihindari bagi memastikan sistem ekonomi lebih sihat.
"Perkara ini membuka mata banyak pihak terutamanya rakyat Malaysia terhadap Anwar yang berani mengambil tindakan drastik walaupun masih baru menjadi Perdana Menteri.
"Isu kekayaan ini harus dihindarkan kerana kita tidak mahu golongan Oligarki terus mengaut keuntungan tanpa persaingan.
Prof Dr Azmi Hassan
"Perkara ini menyebabkan peniaga lain tidak mampu bersaing. Perkara ini dapat dilihat jelas berlaku di Rusia apabila golongan yang rapat dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin berjaya mengawal sesuatu perniagaan dan membolot kekayaan.
"Ia menyebabkan golongan Oligarki ini terus kaya manakala golongan lain tidak mampu bersaing dan terpaksa menanggung kerugian," katanya kepada Majoriti.
Kata Azmi, tindakan Anwar untuk menghentikan pembolotan harta bagi memastikan kawalan ekonomi dapat dilakukan.
Anwar menegur pemilik Bernas berhubung monopoli import beras.
"Tidak dinafikan, ahli politik atau taikun ini memperoleh kekayaan secara sah namun ia tidak adil bagi golongan lain.
"Terdapat ahli politik atau taikun menggunakan kedudukan mereka untuk menguasai sesuatu perniagaan sehingga berjaya mengaut keuntungan dengan selesa," jelasnya.
Azmi memberitahu, tindakan menghentikan pembolotan kekayaan yang dilakukan mampu memberi kesan baik kepada ekonomi.
"Monopoli ini menyebabkan tiada persaingan berlaku dan apabila ia berlaku, syarikat yang menguasai perniagaan tersebut tidak berusaha dengan lebih baik dan syarikat kecil terus sukar menembusi pasaran.
Ekonomi negara dijangka bertambah baik selepas penghapusan monopoli membolot kekayaan.
"Persaingan sihat harus ada bagi memastikan syarikat yang betul-betul layak dipilih dalam sesuatu perniagaan selain menjadikan kitaran ekonomi lebih baik," katanya.
Pada masa sama, Azmi berkata, masyarakat harus faham mengenai langkah yang dilakukan Anwar berhubung penghapusan monopoli tersebut.
"Penghapusan monopoli membolot kekayaan ialah penghapusan secara tersirat untuk membanteras rasuah.
"Rasuah itu berkemungkinan besar berlaku dalam sesuatu perniagaan sekiranya ia terus dimonopoli golongan tertentu," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram