CIAPAN pendek Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menolak gelaran 'papa' menarik perhatian netizen.
Perkara itu berlaku selepas seorang pengguna Twitter meninggalkan komen di Twitter Anwar dengan menulis 'Selamat pagi papa'.
Bagaimanapun, Anwar meminta individu terbabit tidak memanggilnya dengan sebarang gelaran dan memperlihatkan beliau kurang senang apabila netizen menggunakan panggilan tersebut.
Panggilan 'Papa' yang digunakan salah seorang pengguna media sosial.
Perkara ini jelas bertentangan dengan Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menggunakan panggilan 'Abah' serta 'Pak Long' untuk merapatkan lagi hubungan mereka dengan rakyat.
Penganalisis politik, Prof Dr Azmi Hassan berkata, ada sebab mengapa Datuk Seri Anwar menolak panggilan terbabit.
"Tidak dinafikan gelaran peribadi kepada Menteri atau Perdana Menteri membuatkan rakyat terasa dekat dengan dengan ahli politik.
Prof Dr Azmi Hassan
"Kita dapat lihat dua bekas Perdana Menteri sebelum ini iaitu Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Datuk Seri Ismail Sabri yang mesra dengan rakyat dengan panggilan tertentu," katanya kepada Majoriti.
Bagaimanapun, Azmi memberitahu, gelaran 'papa' itu tidak sesuai dengan Anwar dan penolakan panggilan itu bersebab.
"Tujuan memberi gelaran itu mudah iaitu memberi persepsi bahawa Menteri atau ahli politik itu rapat dengan rakyat.
Muhyiddin diberi gelaran 'Abah' manakala Ismail pula 'Pak Long'.
"Namun, gelaran 'papa' itu mempunyai stigma yang negatif dan ia mungkin sebab Anwar menolak. Mungkin ada panggilan yang lebih sesuai dan masih terlalu awal untuk rakyat memberi gelaran tersebut kepada Anwar.
"Rakyat perlu merasai dahulu kepimpinan Anwar sebelum memberi gelaran dan banyak lagi gelaran yang lebih sesuai diberikan," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram