Wanita Orang Asli maut dipijak gajah di Kuala Lipis


  • 112
  • Selasa, 06 Dis 2022

Mayat mangsa dibawa ke hospital untuk bedah siasat. — PDRM

SEORANG wanita Orang Asli maut akibat cedera parah dipercayai akibat dipijak gajah di Kampung Simoi Baru, Pos Betau di Kuala Lipis, Pahang awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Azli Mohd Noor berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian pada pukul 4.40 pagi dan mangsa Wak Angkat Yok Tong, 39, ditemukan di dalam kawasan pokok pisang oleh ahli keluarganya.

"Siasatan awal mendapati mangsa bersama lapan ahli keluarganya sedang tidur di rumah kayu berdinding buluh yang dikelilingi pokok pisang dan berhampiran kebun getah.

"Mereka terjaga kerana dinding rumah bergoyang dipercayai akibat dilanggar gajah menyebabkan mereka semua melarikan diri," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Azli berkata, ahli keluarga mangsa yang berkumpul semula selepas keadaan tenang, menyedari mangsa hilang menyebabkan mereka mencarinya di sekitar rumah.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

maut, polis, gajah, Orang Asli, pisang, Kuala Lipis