Lama menghilang, 5 import 'kitar semula' kembali hangatkan Liga M 2023


  • Podium
  • Rabu, 30 Nov 2022

Kelima-lima pemain import terbabit dikatakan bakal kembali beraksi dalam saingan Liga M musim depan.

KEMENANGAN 2-1 Johor Darul Takzim (JDT) ke atas Selangor FC pada pentas Piala Malaysia pada Sabtu lalu menandakan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini sudah melabuhkan tirainya.

Selepas ini, fokus semua kelab di Liga M pasti beralih kepada proses membina pasukan yang lebih mantap dengan mencari pemain-pemain berkualiti ataupun mengekalkan tonggak sedia ada bagi saingan musim depan.

Terdapat beberapa pasukan yang sudah rancak dalam membawa masuk pemain baharu itu dan ada di antaranya juga dikatakan sudah mulai mengintai bintang import bagi memperkukuhkan skuad masing-masing.

Bukan sahaja merekrut bintang baharu, malah ada juga khabar angin mengatakan beberapa pasukan akan 'mengitar semula' pemain import dan dijangkakan bakal tampil kembali selepas beberapa tahun meninggalkan Liga M.

Polisi ‘kitar semula’ import ini sering terjadi dalam landskap bola sepak tanah air dan pemain berkenaan juga senang untuk 'dipujuk' kembali untuk beraksi di kancah Liga M.

Justeru itu, bagi saingan Liga M musim depan, Majoriti menyenaraikan lima import yang bakal menjejakkan kaki semula ke Malaysia selepas beberapa tahun 'menghilang':

1) Sanzhar Shaakhmedov

SANJAAR

Sanzhar dikaitkan dengan perpindahan ke TFC dan KDA FC. — Facebook/TFC

Bekas arkitek tengah Terengganu FC (TFC) itu dikatakan akan kembali mewarnai Liga M dengan dua pasukan sedang memburunya iaitu Kedah Darul Aman (KDA) FC dan bekas majikannya, skuad Penyu.

Penyokong Terengganu masih tidak dapat melupakan sentuhan pemain berusia 32 tahun itu dan ia dibuktikan apabila mereka pernah memilih Sanzhar dalam satu undian sebagai pemain tengah import terbaik yang pernah beraksi untuk TFC.

Oleh itu, tidak hairanlah jika penyokong dan mungkin pihak pengurusan sendiri merindukan aksi Sanzhar di bumi Darul Iman selepas dua tahun dia meninggalkan pasukan Terengganu.

Bukan sahaja TFC, malah Kedah Darul Aman (KDA) FC juga dikaitkan dengan perpindahan Sanjar ke Liga M.

Nama Sanzhar terpalit dengan Kedah apabila dia dikatakan akan mengikut jejak langkah gurunya, Nafuzi Zain yang difahamkan akan mengendali Sang Kenari pada musim depan.

2) Gonzalo Cabrera

WhatsApp Image 2022-11-29 at 5.09.47 PM

Penyokong masih berharap agar Cabrera kembali ke kancah Liga M. — Instagram

Meskipun Johor Darul Takzim (JDT) sudah menafikan akan menandatangani bekas pemain import mereka, Gonzalo Cabrera sebagai pemain naturalisasi, namun penyokong masih berharap akan menyaksikan pemain itu menyarung jersi Harimau Selatan.

Pemain kelahiran Argentina itu boleh dikatakan merupakan bintang import cemerlang JDT dengan menyaksikan dia berhasil meledak 57 gol sejak mewakili pasukan Harimau Selatan pada 2017.

Dengan rekod baik pemain berusia 33 tahun itu bersama JDT, tidah hairanlah keputusan pihak pengurusan JDT itu sukar diterima penyokong Harimau Selatan.

Sehingga kini masih ada khabar angin mengatakan bahawa penyerang terbabit merupakan pemain dalam senarai pemain baharu JDT pada musim depan.

3) Matias Ruben Conti

conti

Salah satu gambar yang dimuat naik Conti di Instagram miliknya. — Instagram

Bekas tonggak import Tok Gajah, Matias Ruben Conti pula menjadi bahan bualan para penyokong apabila difahamkan Sri Pahang FC akan membawa masuknya semula ke Stadium Darul Makmur.

Bukan sahaja penyokong yang merindukan aksi penyerang kelahiran Argentina itu, malah Conti turut dilihat merindui skuad Tok Gajah.

Perkara itu dibuktikan apabila pemain berusia 32 tahun itu membuat hantaran di laman Instgram miliknya dengan melampirkan beberapa gambar sewaktu Pahang merangkul kejuaraan Piala Malaysia 2013.

Hantarannya itu seperti memberi harapan dan petanda kepada para penyokong Tok Gajah yang dia bersedia untuk kembali membantu jentera serangan pasukan Pahang.

3) Igor Zonjic

Screenshot 2022-11-29 at 4.53.49 PM

Zonjic hanya sempat menabur bakti bersama TFC selama satu musim. — Agensi

Selain Sanzhar, pemain pertahanan tengah, Igor Zonjic juga antara bintang import 'kitar semula' pada musim depan selepas desas-desus mengaitkannya akan kembali ke Terengganu.

Pemain dari Serbia itu mulai menyarung jersi Terengganu pada 2018 dan hanya sempat menabur bakti bersama TFC selama semusim.

Meskipun mempunyai waktu yang singkat bersama Terengganu, namun pemain berketinggian 1.88 meter itu sempat membantu TFC mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia pada 2018.

Zonjic yang kini beraksi bersama kelab Montenegro, OFK Petrovac pernah menyatakan hasrat untuk sedia kembali semula ke Liga Malaysia untuk menyarung jersi Terengganu FC jika mendapat panggilan rasmi daripada pihak pengurusan.

5) Victor Nirennold

Screenshot 2022-11-29 at 5.10.52 PM

Nirennold merupakan tonggak pertahanana UiTM FC pada 2020 dan 2021. — Facebook/UiTM FC

Selangor FC difahamkan sedang mensasarkan bekas pemain import UiTM FC, Victor Nirennold untuk menguatkan kubuh pertahanan skuad Gergasi Merah musim depan.

Perkara itu didedahkan oleh pemerhati sukan, T. Avineshwaran yang menyatakan bahawa The Red Giants kini sedang melihat kehadiran bekas bek tengah Fleetwood Town itu untuk menambah kualiti pada barisan pertahanan.

Pemain kelahiran Perancis itu tidak asing lagi dalam bola sepak tempatan kerana pengalamannya yang pernah beraksi bersama UiTM FC selama dua musim dari 2020 hingga 2021.

Jika benar khabar angin mengaitkan Nirennold ke skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu, berkemungkinan dia akan kembali beraksi bersama bekas rakan sepasukannya di UiTM FC, Ahmad Khuzaimi Piee.

Tonggak pertahanan Negeri Sembilan itu turut dikaitkan dengan perpindahan ke Selangor pada musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram