Anwar tolak cenderahati, warganet saran sumbang kepada rakyat memerlukan


Anwar mahu budaya memberi cenderahati kepadanya mesti dihentikan. — Twitter Anwar Ibrahim

GENAP seminggu Datuk Seri Anwar Ibrahim mentadbir negara ini, ribuan ucapan tahniah dan pujian tidak henti-henti diterima Perdana Menteri itu.

Presiden Indonesia, Joko Widodo; Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Perdana Menteri India, Narendra Modi; dan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese antara pemimpin dunia yang memberi ucapan tahniah kepada Anwar.

Tidak kurang daripada itu, ada juga pihak mendakwa, Perdana Menteri ke-10 itu menerima hadiah daripada beberapa individu kenamaan, sebagai tanda penghargaan atas pelantikan beliau sebagai pemimpin tertinggi negara.

Kurang selesa selain mahu mengelakkan diri daripada terjebak amalan rasuah, Anwar mengingatkan orang ramai supaya tidak meneruskan budaya memberi hadiah kepadanya.

"Saya ingin mengingatkan kepada semua pihak agar tidak memberi sebarang cenderahati kepada saya dan budaya ini mesti dihentikan.

"Saya hargai niat baik saudara saudari semua, tetapi ini tidak bersesuaian dengan etika pengurusan dan pimpinan serta ia membebankan rakyat," katanya menerusi hantaran di laman Twitter.

template - 2022-12-02T130200.904

Tangkap layar komen netizen berhubung kenyataan Anwar tentang keenggannya menerima sebarang cenderahati.

Kenyataan Anwar itu semestinya mendapat respons daripada netizen, yang mana terdapat segelintir rakyat mahu hadiah diterimanya disumbangkan kepada individu lebih memerlukan.

@heri_muqri menyarankan Anwar mempertimbangkan hadiah yang diterimanya untuk disumbang kepada fakir miskin dan golongan B20.

"Ramai yang memerlukan di luar sana, dapat apa-apa yang boleh ditukar kepada wang tak salah bagi rakyat yang susah di luar sana tu," katanya.

@Pravin_Baskaran berkata, dia bersetuju tentang budaya negara ini yang memberi cenderahati sebagai tanda penghargaan dan hormat.

Pada masa sama, dia memberi idea tentang peraturan cenderahati yang tidak boleh bernilai lebih daripada RM50 dan mesti berupa makanan atau buah-buahan sahaja.

"Sekurang-kurangnya penerima tu kalau tak nak makan pun boleh sedekah dekat orang yang tak mampu," ujarnya.

@buttrisyia menulis: "Kalau ada orang bagi, kena declare as rakyat punya. Semua rakyat boleh enjoy the gift sekali baru best."

Pada 2018, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed berkata, kerajaan mengamalkan dasar tanpa hadiah kepada anggota perkhidmatan awam sebagai usaha menangani rasuah dan ketirisan dalam perkhidmatan awam.

Beliau berkata, amalan itu bukan sahaja membabitkan penerima tapi juga pemberi hadiah.

"Sesiapa nak bagi hadiah kepada saya, saya tidak akan terima tapi boleh bagi bunga, makanan, buah tapi tidak lebih daripada itu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram