[VIDEO] Rider 'show off' taktik licik, sengaja himpit kereta, marahkan mangsa di lampu isyarat Kepong


  • Tular
  • Jumaat, 02 Dis 2022

Tangkap layar seorang penunggang motosikal lelaki memarahi pemandu kereta di jalan raya dekat Kepong Maluri, Kuala Lumpur.

TINDAKAN licik seorang penunggang motosikal lelaki yang menghimpit sebuah kenderaan di Kepong, Kuala Lumpur, pada Khamis, mengundang perhatian warganet apabila perbuatan itu didakwa sengaja dilakukan bagi mendapatkan ganti rugi.

Ketika kejadian, suspek terlebih dahulu dilihat menunggang di lorong hadapan laluan tersebut sebelum perlahan-lahan mengundur dan mendekati kereta di belakangnya.

Suspek berbaju putih dan berseluar hitam itu mula bertindak kasar apabila mendakwa motosikalnya dilanggar kereta terbabit dari arah belakang dan situasi bertambah kecoh apabila mangsa turut melakukan provokasi berhubung kejadian tersebut.

Tersentak dengan insiden itu, suspek kemudiannya dilihat sengaja mencetuskan kemarahan mangsa apabila bertindak memarahi dan mencerca di lokasi berkenaan.

Dikongsikan di laman media Facebook, rakaman tular itu hangat diperkatakan dan menerima lebih 400 perkongsian setakat ini.

Sebaik lampu isyarat bertukar hijau, mangsa terus bergerak laju dan memotong kenderaan suspek sambil menekan hon berulang kali.

Namun, penunggang tersebut sekali lagi mempamerkan reaksi kurang menyenangkan apabila sengaja menahan dan menunggang dengan perlahan di laluan terbabit.

Rata-rata warganet mengecam perbuatan suspek yang dipercayai sengaja menggunakan taktik licik untuk menebus ganti rugi.

"Kereta langsung tidak bergerak, nak duit pun agak-agaklah, jangan sampai ketara sangat cara menipu tu," kata Dicky Leong.

"Nampak sangat dia sengaja nak himpit kereta itu, punya la besar ruang nak juga rapat ke belakang lepas itu nak buat kecoh konon dilanggar," ujar Farah Liyana.

"Senang orang macam ni, buat masalah lepas itu nak kutip duit, harap viral muka dia biar tertangkap dengan polis," tambah Rani Merbuk.

Belum ada sebarang laporan dan kenyataan daripada polis berhubung kejadian itu setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram