[VIDEO] Berang kena hon, 'Bro Hilux' ada rekod jenayah, tapak pemandu Vios sampai lembik di Bintulu


  • Tular
  • Khamis, 01 Dis 2022

Tangkap layar seorang lelaki menumbuk dan menendang pemandu di Bintulu, Sarawak.

TINDAKAN ganas seorang lelaki yang memukul dan mengasari pemandu di Bintulu, Sarawak, pada Selasa mengundang perhatian ramai susulan insiden tersebut didakwa menyebabkan laluan jalan raya bertukar sesak ketika kejadian.

Suspek berbaju hitam dan berseluar biru itu dipercayai bertindak sedemikian akibat berang dengan tindakan mangsa yang membunyikan hon berulang kali ketika memandu.

Gagal mengawal kemarahan, suspek kemudiannya mengekori kereta mangsa dan mula bertindak kasar apabila dilihat menumbuk dan menendang ketika kejadian.

Dikongsikan di laman media Facebook, rakaman tular itu hangat diperkatakan warganet dan menerima lebih 300 perkongsian setakat ini.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu dalam kenyataannya berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku di hadapan sebuah stesen minyak dan suspek mengekori mangsa kerana tidak berpuas hati.

Semakan rekod lampau juga mendapati mangsa mempunyai satu rekod kesalahan di bawah Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah, khianat ke atas kenderaan dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Suspek kini ditahan di bawah Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan dan direman selama empat hari untuk membantu siasatan.

Susulan kes tersebut, polis Bintulu memberi peringatan tegas akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang kegiatan dan aktiviti melibatkan samseng jalanan yang boleh menggugat keselamatan orang awam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram