[VIDEO] Bapa meraung sedih, tak sempat selamatkan anak kena baham buaya depan mata di Lahad Datu


  • Tular
  • Khamis, 01 Dis 2022

Tangkap layar seorang lelaki menangis selepas anaknya hilang setelah dibaham buaya di Lahad Datu, Sabah pada Khamis.

SEORANG bapa terpaksa menanggung kesedihan selepas anaknya berusia setahun dilaporkan hilang selepas dibaham buaya di Lahad Datu, Sabah pada pagi Khamis.

Gagal mengawal kesedihan, lelaki berkenaan dilihat menangis dan meratapi insiden menimpa anaknya susulan kejadian itu berlaku di hadapan matanya sendiri.

Kejadian itu mengakibatkan lelaki terbabit turut mengalami kecederaan di tangan ketika cuba menyelamatkan anaknya dalam serangan tersebut.

Dikongsikan di laman Facebook, rakaman itu hangat diperkatakan warganet sejak Khamis.

Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sabah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu dari Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin, Lahad Datu.

Menurut saksi, kedua-dua mangsa melalui detik tragis itu ketika sedang mendayung perahu di kawasan tersebut sebelum diserang buaya terbabit yang mengganas secara tiba-tiba.

Mangsa yang terselamat dilaporkan mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di hospital.

Rata-rata warganet meluahkan komen bersimpati berhubung kejadian itu.

"Buaya semakin berleluasa membaham orang di Sabah kebelakangan ini, kerajaan negeri perlu ambil tindakan serius, wartakan undang-undang memburu buaya seperti di Sarawak," kata Donny Sius.

"Buaya sekarang sudah tidak relevan untuk dikelaskan sebagai haiwan terlindung sebab manusia sendiri pun terancam," jelas Maximillian Mel.

"Sedih lihat kejadian seperti ini, harap bapanya tabah dan boleh terima kematian anaknya dengan hati terbuka," tambah Imran Noir.

Pencarian mangsa masih lagi diteruskan oleh Polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, namun mangsa belum ditemukan setakat ini.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan, Ketua BBP Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.25 pagi.

Katanya, berdasarkan maklumat saksi, kedua beranak itu disambar buaya ketika sedang mencari perahu mereka di persisiran pantai.

"Bapa kanak-kanak itu, Moherat, 45, berjaya diselamatkan orang awam, namun mengalami kecederaan parah di kepala serta badan dan kini mendapat rawatan lanjut di Hospital Lahad Datu," katanya ketika dihubungi.

Sumsoa berkata, pihaknya melancarkan operasi mencari dan menyelamat kanak-kanak yang hilang itu menggunakan kaedah 'surface rescue' sejauh dua kilometer dari Pangkalan PPM hingga perairan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu.

Bagaimanapun, menurutnya, sehingga pukul 5 petang Khamis, mangsa masih belum ditemukan dan operasi disambung pada Jumaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram