[VIDEO] Penunggang lagak samseng, pamer aksi 'muay thai' tumbuk cermin X50


  • Tular
  • Selasa, 29 Nov 2022

Tangkap layar seorang penunggang motosikal menumbuk dan memecahkan tingkap kereta di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur.

TINDAKAN seorang penunggang motosikal lelaki yang menumbuk dan memecahkan tingkap kereta pemandu di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur pada Isnin mengundang kecaman warganet.

Kejadian itu dipercayai berpunca akibat kesalahan penunggang tersebut yang terlebih dahulu melanggar lampu isyarat merah sebelum berlaku rempuhan kecil dengan kereta berkenaan.

Berang dengan insiden tersebut, suspek yang dilihat menunggang bersama seorang wanita itu kemudiannya turun daripada motosikalnya dan bertindak cuba merosakkan kereta pemandu terbabit.

Mempamerkan aksi ala-ala 'muay thai,' mangsa mendakwa cermin keretanya pecah akibat beberapa kali ditumbuk lelaki berkenaan.

Dikongsikan di laman Facebook, rakaman tular itu hangat diperkatakan dan menerima lebih 190 perkongsian setakat ini.

Meskipun dicabar dan digasak beberapa kali, mangsa tidak mengambil sebarang tindakan sebaliknya terus berdiam diri di dalam kereta dan merakamkan insiden tersebut.

Ketika kejadian, suspek dikatakan telah memasuki ke lorong laluan kereta dan secara tidak langsung menyebabkan berlaku rempuhan kecil antara kedua-dua kenderaan terbabit.

Sementara itu, mangsa turut mendakwa lelaki berkenaan menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu dan ia sekali gus mengundang pelbagai spekulasi dan kemarahan di laman media.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet mengecam perbuatan lelaki tersebut.

"Muka dia semua dah jelas ada dalam video, tinggal nak tunggu polis datang cekup bawa ke balai je, nanti tengok macam mana dalam sana dia boleh bedal orang ke tidak," kata JY Mohamed.

"Serius la dia tumbuk cermin sampai pecah, kalau cermin bas aku percaya la tapi ini kereta tebal dia punya cermin, kalau kena muka boleh pengsan," ujar Hafiz Fiz.

"Nombor pendaftaran palsu mesti motosikal curi, lepas itu nak berlagak samseng rosakkan harta benda awam dan pecahkan cermin kereta orang, kena cekup polis la tak lama lagi ni," tambah Zaid Jamaludin.

Pihak polis Cheras telah menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan siasatan terperinci sedang dijalankan.

Polis Cheras menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau andaian yang boleh menimbulkan kegusaran awam dan memohon mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut untuk tampil membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram