[VIDEO] Gara-gara hutang dobi RM4, wanita jadi mangsa gangguan seksual di Ara Damansara


  • Tular
  • Jumaat, 02 Dis 2022

Tangkap layar seorang lelaki didakwa melakukan kegiatan seksual terhadap seorang wanita di dalam sebuah kereta.

SEORANG wanita mendakwa dirinya menjadi mangsa gangguan seksual lelaki tidak dikenali selepas dipaksa melakukan perbuatan terkutuk di dalam kereta di Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika mereka sedang mencuci pakaian di sebuah kedai dobi dan mangsa yang dikenali sebagai Zara Kayangan di Twitter, dikatakan terpaksa meminjam wang sebanyak RM4 dari lelaki berkenaan akibat kekurangan duit.

Namun, situasi bertukar rumit apabila suspek kemudiannya mempelawa untuk menghantar wanita berkenaan pulang ke rumah.

Dalam perjalanan itu, suspek dikatakan mula bertindak luar kawalan apabila menarik baju dan cuba mencium mangsa beberapa kali.

Malah, mangsa turut mendakwa kepalanya ditarik dan diletakkan pada celah kangkang lelaki tersebut.

Tersentak dengan perlakuan terkutuk itu, mangsa kemudiannya menampar muka suspek selepas bergelut dalam pertelingkahan tersebut sebelum akhirnya sampai ke rumah.

Mangsa juga mendakwa, keesokan harinya dia sekali lagi terserempak dengan lelaki berkenaan di lokasi sama dan satu pergaduhan telah berlaku antara kedua mereka.

Dikongsikan di laman Twitter peribadi, perselisihan faham itu menerima lebih 300,000 jumlah tontonan setakat ini.

Berdasarkan rakaman tersebut, mangsa dilihat meluahkan kemarahan susulan perkara yang menimpa dirinya dan turut mengugut untuk melaporkan insiden itu ke pihak polis.

Enggan berselindung di sebalik kesalahan dilakukan, suspek turut mempertahankan diri dengan hujahan dan tuduhan terhadap wanita berkenaan yang dikatakan sengaja meminta perkara sedemikian.

Difahamkan kejadian itu telah dilaporkan kepada pihak berkuasa dan suspek lelaki tersebut telah ditahan.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada mangsa yang didakwa telah menerima gangguan seksual daripada seorang lelaki tidak dikenali.

Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya telah berjaya menangkap seorang lelaki warganegara tempatan yang didakwa terlibat dalam kes tersebut.

Permohonan reman ke atas suspek akan dilakukan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Kes tersebut masih belum selesai dan orang ramai dinasihati supaya mematuhi undang-undang dan tidak melakukan sebarang perbuatan jenayah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram