PM berpengaruh di peringkat global, 6 negara rapat dengan Anwar


  • Politik
  • Khamis, 01 Dis 2022

Anwar dihujani ucapan tahniah daripada pemimpin dunia sejurus dilantik menjadi Perdana Menteri.

HUBUNGAN antarabangsa sangat penting bagi setiap negara dalam menjalinkan kerjasama dari pelbagai sudut antaranya ekonomi, ketenteraan dan pendidikan.

Pergaulan tersebut dinilai dan dipantau dalam usaha untuk mendapatkan pelbagai manfaat yang dapat diperolehi daripada kerjasama antarabangsa.

Dasar luar negara dirancang untuk membantu melindungi kepentingan negara, keamanan negara, tujuan ideologi dan kemakmuran ekonomi sebuah negara.

Pengaruh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat antarabangsa dapat dilihat dengan jelas sehingga menimbulkan kebanggaan rakyat Malaysia walaupun beliau sebelum ini bukan Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima banyak ucapan tahniah dari pemimpin-pemimpin dunia selepas beliau sah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

Berikut, Majoriti menyenaraikan negara yang mempunyai hubungan baik dengan Anwar :

WhatsApp Image 2022-11-30 at 7.38.41 PM

Turkiye

Hubungan ini dapat dilihat ketika sidang media pertamanya sejurus menjadi Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar menerima panggilan telefon daripada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan yang merakamkan ucapan tahniah kepadanya, beberapa jam selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10.

Dalam perbualan telefon yang berlangsung selama kira-kira 10 minit, Anwar menyuarakan harapan agar Malaysia dan Turkiye dapat mengukuhkan hubungan dan kerjasama dalam banyak bidang termasuk perdagangan, perniagaan, budaya, pendidikan dan ketenteraan.

1553469

Singapura

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menjadi antara individu terawal yang mengucapkan tahniah kepada Anwar.

Hsien Loong turut menyatakan hasrat tidak sabar untuk bertemu Anwar bagi membincangkan isu yang dihadapi dan memikirkan cara memajukan hubungan dua hala.

Menurut Hsien Loong, Singapura dan Malaysia mempunyai hubungan rapat yang telah lama terjalin.

1569700

Indonesia

Presiden Indonesia, Joko Widodo juga merupakan antara ketua negara pertama yang menghubungi Anwar sejurus dilantik menjadi Perdana Menteri.

Ia secara tidak langsung mempamerkan pengaruh Anwar di rantau Asia Tenggara.

Presiden Indonesia tersebut turut menyatakan hasrat untuk memperkukuhkan hubungan kedua-dua negara meliputi budaya, bisnes dan isu pekerja.

51597373579_IsmailHaniyeh

Palestin

Hubungan antarabangsa Anwar juga tidak terhenti di situ sebaliknya Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada beliau.

Lebih membanggakan, Ismail turut mendoakan Anwar agar terus berjaya dalam memimpin Malaysia dan dapat berkhidmat untuk masyarakat.

Pada masa sama, Ismail juga menghargai sokongan Anwar dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin dan Masjid Al-Aqsa.

Pemimpin Hamas tersebut berharap Anwar akan kekal lantang agar rakyat Palestin memperolehi hak penuh mereka dan bebas daripada penjajahan yang kejam.

Perkara ini membuka mata rakyat Malaysia bahawa Perdana Menteri ke-10 turut berjuang mempertahankan agama Islam.

_124979722_gettyimages-139892215-20220606121447

Australia

Tidak ketinggalan, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese turut menanti meneruskan kerjasama antara Malaysia dan negara itu sejurus Anwar dilantik.

Anthony menyifatkan hubungan kedua-dua negara mempunyai sejarah tersendiri dan pelantikan Anwar mampu menambah baik kerjasama tersebut.

biden

Amerika Syarikat

Amerika Syarikat juga mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Anwar sejurus selesai upacara angkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Mesej tahniah itu disampaikan menerusi Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia Brian D. McFeeters.

Kedutaan AS Kuala Lumpur berharap untuk terus mengukuhkan perkongsian strategik AS-Malaysia di bawah kepimpinan Anwar.

Pada masa sama, beberapa pemimpin dunia Arab merakamkan ucapan tahniah termasuk Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman.

Anwar, 75, dipilih sebagai perdana menteri Malaysia ke-10 selepas diperkenan Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 24 November lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram