DATUK Seri Anwar Ibrahim mempunyai tempoh yang singkat untuk membuktikan kalibernya sebagai Perdana Menteri kepada seluruh dunia.
Pakar ekonomi, Profesor Dr Barjoyai Bardai berkata, tempoh 100 hari atau tiga bulan 10 hari itu merupakan tugas yang sukar kepada Anwar.
"Bagaimanapun, sejak pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri, kita dapat lihat pasaran saham berada dalam keadaan positif menunjukkan kepercayaan pelabur untuk melabur di negara ini.
"Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi negara, kita juga menyaksikan beberapa hari selepas menjadi Perdana Menteri, Anwar dihujani ucapan tahniah dari pihak antarabangsa yang menunjukkan pengaruhnya di seluruh dunia," katanya kepada Majoriti.
Profesor Dr Barjoyai Bardai
Kata Barjoyai, antara tugas sukar bakal dihadapi Datuk Seri Anwar melibatkan isu kos sara hidup dan kestabilan ekonomi.
"Kita semua tahu ia adalah sukar untuk dicapai dalam tempoh yang singkat namun pendekatan yang diambil menjadi pengukur kepada kredibiliti Anwar sebagai Perdana Menteri.
"Anwar harus merancang strategi dengan baik untuk menyelesaikan perkara ini. Dua perkara ini menjadi agenda utama kepada rakyat yang mahukan perubahan," jelasnya.
Pasaran saham meningkat sebaik Anwar diumumkan sebagai Perdana Menteri.
Tambah Barjoyai, Anwar harus mempunyai barisan Kabinet yang mampu membantunya selain menguruskan pentadbiran dengan baik.
"Pembentukan Kabinet harus dilakukan sebaik mungkin dan mengetepikan mainan politik untuk kesejahteraan masyarakat.
"Sekiranya ia berjaya dicapai, tidak mustahil Anwar mampu meneruskan jawatan sebagai Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum seterusnya.
"Sebagai permulaan, Anwar harus melakukan penstrukturan ekonomi bagi memastikan harga barangan dan kos sara hidup tidak naik termasuk mengawal inflasi," jelasnya.
Rakyat mahukan Anwar mengembalikan kegemilangan negara.
Kata Barjoyai, pengalaman sebagai Menteri Kewangan sekitar tahun 1991 mampu memberi kelebihan kepada Anwar mentadbir negara.
"Kita beri ruang kepada beliau melakukan perubahan dan tidak terlalu menekan untuk mendapatkan sesuatu keputusan.
"Saya harap beliau mampu melakukan perubahan yang diharapkan kepada negara dan mengembalikan kegemilangan Malaysia di mata dunia," jelasnya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram