PELANTIKAN lima anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) tidak perlu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, demikian cadang Majlis Raja-Raja.
Perkara itu dititahkan Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-raja, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Almarhum Tuanku Munawir dalam perutusan selepas selesai Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 di Istana Negara pada Rabu.
Tuanku Mukhriz bertitah, proses pelantikan hakim di Malaysia pada masa ini mempunyai kelemahan dan boleh diperbaiki.
"Untuk memastikan JAC bebas dalam melaksanakan tanggungjawab, Beta mencadangkan agar pelantikan lima ahli JAC tidak dibuat oleh Perdana Menteri.
"Sebaliknya ia diberikan kepada beberapa institusi lain seperti Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-undang Sana, Persatuan Peguambela Sarawak dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen.
"Dengan kaedah ini, keanggotaan JAC akan lebih seimbang, dan tidak membawa kepentingan mana-mana pihak," titahnya.
Tuanku Mukhriz turut bertitah bahawa, JAC akan mampu menjalankan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan dan menjadikan pemilihan serta pelantikan hakim-hakim di Malaysia adalah dalam kalangan individu yang berkeperibadian mulia, telus dan adil.
Selain itu, titah baginda, JAC memainkan peranan utama dalam mengemukakan cadangan pelantikan hakim.
"Keanggotaan JAC adalah kritikal untuk memastikan JAC terus berkemampuan mengemukakan nama-nama hakim yang berintegriti dan berkaliber.
"Beta mencadangkan supaya struktur JAC turut dinilai semula dengan rundingan dibuat antara kerajaan, ahli JAC sedia ada dan badan-badan guaman serta institusi lain yang relevan," katanya.
Untuk rekod, JAC kini mempunyai sembilan anggota keahlian dengan empat daripadanya merupakan hakim yang sedang memegang jawatan terkanan manakala lima lagi ahlinya merupakan individu yang dilantik Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Tuanku Mukhriz turut mencadangkan agar lafaz ikrar Rukun Negara terus dilaksanakan dari semasa ke semasa dalam majlis-majlis yang bersesuaian.
"Lafaz ikrar Rukun Negara juga hendaklah diketuai oleh pemimpin yang dilantik dan bukan lagi daripada kalangan belia yang bersuara lantang.
"Ini akan membuktikan bahawa kerajaan serius dalam menjadikan Rukun Negara sebgai asas dan pantuan rakyat," titahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram