PM belum muktamad barisan Kabinet, tak mungkin umum esok


  • Politik
  • Rabu, 30 Nov 2022

Anwar (kiri) mengadap Agong pada Selasa di Istana Negara. — Facebook/Istana Negara

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum memuktamadkan barisan Kabinet, sekali gus menepis laporan media yang mendakwa beliau akan mengumumkan perkara itu pada 1 Disember.

Anwar juga menghabiskan sepanjang petang Rabu untuk menumpukan perhatian sepenuhnya pada pembentukan komposisi Kabinet.

Sumber berkata, berlaku aktiviti melobi yang cukup sengit ketika ini dalam kalangan parti di bawah kerajaan perpaduan.

"Senarai itu mungkin akan dikurangkan hingga ke 25 kementerian tetapi Anwar masih berteka-teki kerana perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Beliau perlu mengambil kira banyak kepentingan politik dan perlu mengecilkan Kabinet ke angka yang terbaik," kata sumber.

Untuk rekod, di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sebelum ini, terdapat 32 menteri, manakala Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula mengetuai kerajaan dengan 31 menteri.

Terdapat spekulasi bahawa mungkin terdapat dua Timbalan Perdana Menteri dengan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid disebut-sebut bakal dilantik bersama seorang lagi dari Sarawak.

Datuk Fadillah Yusuf dari Gabungan Parti Sarawak, yang merupakan Menteri Kerja Raya, dipetik media sebagai individu yang mengambil jawatan TPM kedua.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) hampir pasti untuk mengekalkan jawatan Menteri Kewangan. Sekiranya jawatan Menteri Kewangan II diwujudkan, maka kemungkinan posisi itu akan diberikan kepada Umno.

Satu lagi jawatan penting ialah portfolio Menteri Dalam Negeri yang diintai PKR dan Umno.

Spekulasi berkaitan Kabinet mula berlegar-legar selepas akaun Facebook Istana Negara pada Rabu menyiarkan empat gambar menunjukkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima kunjungan Anwar.

Dilaporkan, Anwar juga telah menyerahkan senarai barisan Kabinet kepada Agong.

Desas-desus itu juga muncul susulan mesyuarat minggu pertama Anwar yang diadakan pada Selasa berbanding kebiasaannya pada Rabu.

Terdahulu, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, dia difahamkan pengumuman barisan Kabinet akan dibuat secepat mungkin namun tidak mempunyai sebarang maklumat.

"Saya tidak mempunyai sebarang maklumat. Beberapa wartawan telah menghubungi saya.

"Apa yang saya faham (ia akan diumumkan) secepat mungkin, tetapi saya tiada maklumat mengenai tempoh masa itu," katanya.

Difahamkan, walaupun kemungkinan pelantikan Ahmad Zahid sebagai TPM menjadi isu dalam kalangan pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan (PH), mereka juga mengakui beliau merupakan tokoh penting dalam pembentukan kerajaan gabungan itu.

"Realiti yang pahit ialah tanpa Ahmad Zahid, tiada kerajaan perpaduan pimpinan PH. Kita kena pertimbangkan itu.

"Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu dan PAS dengan senang hati akan mengalu-alukan beliau dan BN ke dalam barisan mereka dan membentuk Kerajaan Persekutuan.

"Biar Anwar mempunyai ruang untuk membentuk senarai itu tetapi tidak akan ada pengumuman esok, setakat ini," tambah sumber itu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram