Kempen #KitaKawan tolak sentimen kebencian dalam kalangan masyarakat majmuk


  • Massa
  • Rabu, 30 Nov 2022

Masyrakat perlu menolak sebarang elemen kebencian kaum.

RAMAI rakyat meluahkan kebimbangan terhadap sentimen perkauman yang dicetuskan dalam media sosial semasa dan selepas Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) sehingga menyaksikan berlakunya situasi Parlimen tergantung.

Situasi ini tercetus selepas ada pihak menyebarkan video berunsur fitnah dalam media sosial dengan kadar tontonan dan siaran semula (share) yang tinggi sehingga menimbulkan kegusaran masyarakat.

Bagi menyangkal dan menangani persepsi negatif, Pergerakan Belia Islam Malaysia (Abim) telah melancarkan kempen media sosial #KitaKawan, #SebarkanSalam, #Tolakbencian, #SayangiMalaysiaku bermula 22 November lalu.

WhatsApp Image 2022-11-30 at 3.46.58 PM

Naib Pengerusi Abim, Zairudin Hashim.

Naib Pengerusi Abim, Zairudin Hashim yang juga pengasas #KitaKawan berkata, sepanjang tempoh PRU, dia melihat kenyataan perkauman semakin berleluasa terutama di platform media sosial seperti TikTok.

Jelasnya, platfom tersebut penuh dengan kandungan berbaur diskriminasi kaum dan berfikiran sempit malah ada juga beberapa individu berbangsa Cina yang mengeluarkan kenyataan bahawa 'Islam akan mengubah negara menjadi Taliban', dan wujud juga sebahagian umat Islam percaya bahawa jika orang Cina mendapat kuasa, 'negara kita akan menjadi negara Komunis'.

"Bagi kami, ini semua benda karut, walaupun perdana menteri sudah diumumkan, masih ada yang menyebarkan kenyataan yang menyebarkan kebencian," katanya.

Sebarkan mesej perpaduan

Zairudin berkata, Islam dan agama lain di dunia tidak pernah menghasut penganutnya untuk menyemai kebencian antara satu sama lain, sebaliknya rasa benci yang dilemparkan kepada kumpulan berbeza berpunca daripada minda tertutup terhadap nilai majmuk dan kepelbagaian.

"Abim menyeru semua rakyat Malaysia, tanpa mengira warna kulit, agama atau ideologi politik, untuk bersama-sama memuat naik gambar atau video berunsur perpaduan kaum di media sosial masing-masing dengan tanda pagar seperti yang disertakan.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita semua mempunyai tanggungjawab untuk menyebar kandungan yang berpaksikan kepada nilai penyayang dan menjauhi kebencian," katanya.

Perpaduan dipupuk sejak kecil

Zairudin berkata, hubungan Abim dengan pertubuhan sosial dan kumpulan Islam sememangnya rapat dan mereka telah bekerjasama dengan jabatan kerajaan dan polis untuk mempromosikan beberapa program menggalakkan perpaduan rakyat di seluruh negara.

Malah katanya, usaha untuk menggalakkan perpaduan rakyat mesti bermula dari generasi muda.

"Sebilangan besar pencipta kandungan (menghasut) ini sebenarnya adalah golongan muda, kebanyakannya pengundi kali pertama. Saya rasa mereka tidak sepatutnya membuat keputusan tanpa mengetahuinya, seperti peristiwa 13 Mei.

"Adakah mereka benar-benar memahami keseluruhannya? Kita perlu menyangkal dakwaan palsu ini dan memberi tumpuan kepada isu perpaduan sosial dan kewujudan bersama secara aman.

"Kami tidak cuba melawan mana-mana pihak. Kami cuba menangkisnya dengan menumpukan perhatian terhadap elemen dinamik dalam masyarakat untuk menyangkal kebencian, jadi wujudlah gerakan #KitaKawan," katanya.

Menurutnya, walaupun kebanyakan video yang berbaur kebencian atau menghasut itu dibuat oleh golongan muda, tetapi penyebarnya meliputi semua peringkat umur, termasuk memuat turun video dan menyiarkan semula serta-merta melalui WhatsApp.

Zairudin kagum dengan respons daripada warganet terhadap Kempen #KitaKawan. Ia juga membuktikan kebencian bukanlah perkara biasa. Hakikat sebenarnya perpaduan antara semua kaum telahpun menjadi sebahagian kehidupan.

"Kami telah menganjurkan banyak acara tetapi tiada satu pun yang tular. Jadi saya benar-benar tidak menyangka akan mendapat sambutan yang begitu hebat kali ini. Artis dan selebriti Internet turut berkongsi mesej yang sama dan #KitaKawan. Saya amat bersyukur," katanya.

Jelasnya, #KitaKawan milik rakyat dan yang paling penting ialah ramai rakyat menyokong dan menolak ucapan yang melibatkan kebencian kaum, saling membantu, solidariti, anti rasuah serta lain-lain lagi.

Parti pembangkang kuat imbangi kerajaan

Pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 dibuat atas keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan perpaduan bagi mengekalkan unsur dinamik dalam masyarakat.

Dalam pada itu, Zairudin berkata, selain menubuhkan suatu kerajaan yang stabil, negara memerlukan parti pembangkang yang kuat dan memastikan penyeliaan dan keseimbangan wujud dalam perkara tadbir urus, ketelusan serta integriti dipertingkatkan.

WhatsApp Image 2022-11-30 at 3.46.23 PM

Syazana bergambar bersama rakan sekerjanya yang berbangsa Cina.

Syazana: Pengalaman bekerja dengan kaum Cinak

Seorang pengguna media sosial, Syazana menerusi akaun Facebook miliknya bercerita mengenai pengalamannya bekrja dengan kaum Cina yang menjadi ketakutannya pada awalnya.

Menurut Syazana, dia jarang berkawan dengan bangsa lain sehinggalah ditawarkan bekerja oleh seorang lelaki berbangsa Cina di LinkedIn.

"Hari pertama saya ke pejabat, alangkah terkejutnya saya kerana tidak disediakan surau. Kita kan Melayu. Solat mestilah kat surau kan? Saya tanya bos berbangsa Cina, di mana boleh solat, dan dia maklumkan boleh solat di mana-mana termasuk di bilik mesyuarat. Jika tidak selesa, boleh solat di biliknya.

"Dalam hati saya, biar betul? Ya betul. Ada beberapa kali apabila bilik mesyuarat digunakan, saya memang solat di bilik bos.

"Sudah pasti saya bawa sejadah dan telekung. Masa itu betul betul muhasabah, bagaimana seorang bos mengajar saya secara tak langsung berkaitan solat bukan dekat surau sahaja, mana mana pun boleh solat kalau tempat tu bersih kan." katanya.

Selain itu, Syazana turut berkongsi pengalamannya diberi bekalan makanan untuk berbuka puasa oleh bosnya.

Syazana turut memaklumkan yang rakannya berbangsa Cina begitu menghormatinya ketika solat kerana semua diam dan tidak pernah menegur setiap kali azan berkumandang di telefonnya.

"Setiap kali ada jamuan, pasti keutamaan halal untuk kami yang minoriti (di pejabat), walaupun majlis sambutan Tahun Baharu Cina.

"Setiap kali mesyuarat, sesiapa yang bercakap bahasa Cina akan meminta maaf pada saya dan kembali cakap dalam bahasa Inggeris. Begitu juga team kami yang tak pernah cakap belakang antara satu sama lain. Itu yang saya belajar bila bekerja bersama bangsa Cina. Kalau tak betul, tegur terus, bukan cakap belakang," katanya.

WhatsApp Image 2022-11-30 at 3.45.51 PM

Puteri bersama pengasuhnya, Devi.

Puteri: Pengasuh India macam ibu

Seorang lagi warganet yang dikenali dengan nama Puteri N. Balqis turut berkongsi kisah bersama penjaganya, Aunty Devi yang dianggap sebagai seorang ibu yang penyayang.

Devi telah bekerja sebagai pembantu rumah dalam keluarganya selama 30 tahun. Semasa Puteri dilahirkan, Devi dan bapa Puteri menunggu di luar bilik bersalin.

Devi memainkan peranan penting sepanjang masa bagi Puteri. Setiap kali Puteri habis sekolah, Devi akan menghidangkan makanan dan berbual dengannya tentang sekolah.

Devi juga sering memberi peringatan kepada Puteri tentang pakaiannya.

"Semasa Deepavali, nanny (Devi) juga akan menghantar banyak muruku buatan sendiri, dan kemudian menjemput kami ke rumahnya untuk menikmati makan kari kambing yang lazat," katanya.

Walaupun pengasuh itu telah berpindah ke kampung bersama anak dan cucunya, Puteri masih melawatnya dari semasa ke semasa.

"Kita perlu cinta negara dan masyarakat majmuk yang ada sekarang. Saya tidak mahu hidup dalam sebuah negara yang penuh dengan perasaan dengki dan benci," kata Puteri. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram