Kabinet 26 anggota paling sesuai, Anwar disaran lantik golongan teknokrat


  • Politik
  • Rabu, 30 Nov 2022

Lantikan golongan teknokrat mampu membantu Anwar memulihkan negara kerana mempunyai kepakaran.

LANTIKAN golongan teknokrat wajar dipertimbangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, ia bagi memastikan individu yang benar-benar mempunyai kredibiliti menjawat portfolio yang diwujudkan.

"Kita dapat lihat sebelum ini kira-kira 70 pemimpin termasuk menteri dan timbalan menteri menjawat jawatan dalam kementerian sehingga ia kurang efisien untuk mentadbir negara.

"Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran melantik golongan teknokrat dalam Kerajaan Perpaduan bagi memastikan tugas boleh dilakukan dengan lebih baik," katanya kepada Majoriti.

1838350

Dr. Azmi Hassan

Azmi memberitahu, terdapat beberapa kementerian boleh dihapuskan atau digabungkan untuk mentadbir negara.

"Secara asasnya, Kementerian Kewangan, Ekonomi, Kesihatan, Pengangkutan, Komunikasi, Pendidikan dan Perdagangan adalah penting untuk mentadbir negara.

"Sementara Kementerian Pengajian Tinggi boleh digabungkan atau berada di bawah Kementerian Pendidikan manakala Kementerian Tenaga dan Sumber Asli boleh bergabung dengan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia.

"Saya juga berpendapat, tidak perlu Kementerian Perpaduan kerana ia boleh digabungkan atau cukup diterajui dengan jabatan atau agensi," jelasnya.

WhatsApp Image 2022-11-30 at 12.50.18 PM

Pembentukan Kabinet kompak mampu mengurangkan beban kepada negara.

Tambah Azmi, pembentukan Kabinet kompak dengan 26 jemaah Menteri merupakan angka paling sesuai mengemudi Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi tempoh lima tahun akan datang.

"Bilangan yang terlalu ramai seperti sebelum ini mewujudkan percanggahan tugas dan perbezaan pendapat. Jumlah 26 ahli Kabinet termasuk Anwar merupakan angka yang paling sesuai mengemudi Kerajaan.

WhatsApp Image 2022-11-30 at 1.13.41 PM

Rakyat mahukan kestabilan ekonomi dan mengurangkan kos sara hidup.

"Kabinet perlu efisien untuk membawa perubahan kepada negara, isu lantikan ini tidak boleh ikut sangat parti namun harus mengikut kepakaran dan beliau disarankan melantik golongan teknokrat yang berpengalaman," katanya.

Antara nama-nama yang disebut bakal menerajui Kementerian termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sebagai Menteri Kewangan manakala Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi dan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad sebagai Menteri Kesihatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram