Selain Tun M, 2 lagi pemimpin otai patut pencen liga politik


  • Politik
  • Rabu, 30 Nov 2022

Tun M gagal mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi pada PRU15.

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan beberapa individu tersungkur, selepas beberapa penggal memegang takhta dalam arena politik.

Apa yang menarik perhatian adalah ada di antara mereka sudah pun dimamah usia, sekali gus memberi petanda bahawa mereka tidak lagi relevan di mata rakyat untuk menjadi pemerintah.

Ini seterusnya memberi peluang kepada muka-muka baharu untuk mentadbir negara, manakala tiba masanya ahli politik yang sudah lanjut usia direhatkan daripada berkecimpung dalam dunia tersebut.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut merupakan senarai 3 pemimpin otai yang seharusnya sudah pencen daripada liga politik:

1) Tun Dr Mahathir Mohamad

file7nl1bl475so9umm314g

Tun M memegang jawatan Perdana Menteri paling lama di negara ini.

Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) berusia 97 tahun ini pernah memegang jawatan sebagai Perdana Menteri sebanyak dua kali, iaitu pada Julai 1981 sebelum meletak jawatan pada Oktober 2003.

Beliau kemudian dilantik semula menjadi Perdana Menteri pada Mei 2018 hingga Mac 2020. Ini sekali gus menyaksikan beliau memegang jawatan tersebut paling lama di negara ini.

Pada PRU15, beliau tewas di tangan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Suhaimi Abdullah ketika bertanding di kerusi Parlimen Langkawi.

Dr Mahathir hanya memperoleh 4,566 undi, manakala Suhaimi mendapat 25,463 undi.

Meskipun Dr Mahathir yang menggunakan nama pena Che Det dilihat cemerlang ketika pentadbirannya, beliau beberapa kali dilapor mendapat rawatan perubatan di Institusi Jantung Negara (IJN).

Tahap kesihatan beliau jelas membimbangkan umum yang percaya sudah tiba masanya Dr Mahathir berehat serta mengucapkan selamat tinggal buat selama-lamanya kepada dunia politik.

2) Tengku Razaleigh Hamzah

file7f2zeft9p6d16whxn7vf

Ku Li sudah menjangkau usia 87 tahun.

Veteran Umno itu mula berkecimpung dalam dunia politik seawal usia 25 tahun.

Pada PRU15, Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li gagal mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang, yang disandangnya sejak 1986.

Beliau yang memperoleh 21,663 undi tewas kepada pesaingnya, Mohd. Azizi Abu Naim dari PN yang mendapat 21,826 undi.

Kekalahan itu adalah kali pertama dalam sejarah politiknya selepas 50 tahun.

Ku Li menyertai pilihan raya sejak 1969 melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) Ulu Kelantan Barat dan tidak pernah kalah sejak itu.

Meskipun dilihat sudah tidak relevan dalam politik, veteran berusia 87 tahun itu mungkin boleh ditawarkan sebagai penasihat parti.

Beliau juga difahamkan mahir dalam selok-belok ekonomi dan mungkin boleh berkecimpung semula dalam bidang tersebut selepas ini.

3) Datuk Seri Mahdzir Khalid

file7kh3m5fxph1rqesxlp8

Mahdzir tewas di tangan calon PN pada PRU15.

Bekas Menteri Besar Kedah ke-8 ini pernah menjadi Setiausaha Politik kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pada PRU15, Mahdzir terpaksa akur apabila tewas kepada calon PN, Nurul Amin Hamid bagi kerusi Parlimen Padang Terap.

Mempunyai majoriti sebanyak 10,959 undian, Nurul Amin merampas kerusi tersebut daripada Mahdzir yang merupakan penyandang Parlimen itu.

Meskipun baru berusia 60 tahun, segelintir pihak mendakwa Naib Presiden Umno itu sudah tidak lagi relevan.

Apatah lagi, PRU15 menyaksikan kekalahan besar Barisan Nasional (BN), yang mana hanya 30 ahli parti berjaya merebut kerusi Parlimen.

Ini membuktikan bahawa majoriti rakyat tidak lagi memilih BN sebagai parti utama sama seperti zaman kegemilangannya pada suatu ketika dahulu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram