TEKA-TEKI siapa yang bakal menjadi berada dalam senarai jemaah Menteri di bawah payung kepimpinan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih lagi belum terjawab.
Anwar selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mungkin perlukan beberapa hari untuk menentukan siapa yang menjadi Menteri kerana persefahaman perlu dicapai bersama dengan dua lagi gabungan parti lain iaitu Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Untuk rekod, BN dan PH sebelum ini kedua-duanya sudah pernah bergelar kerajaan dan tak mustahil, beberapa nama yang sebelum ini tidak bergelar Menteri, akan kembali mengemudi jawatan utama dalam kerajaan.
Berikut Majoriti senaraikan lima pemimpin politik yang pernah mempunyai pengalaman sebagai Menteri dan berkemungkinan akan membuat come back di bawah kepimpinan Anwar:
Lim Guan Eng (bekas Menteri Kewangan)
Pada 12 Mei 2018, Lim Guan Eng pernah bergelar Menteri Kewangan selepas dilantik Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad susulan kemenangan PH dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).
Walaupun pelantikannya mendapat kecaman, Dr Mahathir memberi sebab negara perlukan Guan Eng kerana negeri Pulau Pinang di bawah tadbiran DAP berjaya menguruskan kewangan lebih baik berbanding BN walaupun bergelar parti pembangkang.
Namun, jawatan yang dipegang Setiausaha Agung DAP itu gugur selepas Dr Mahathir membuat keputusan meletakkan jawatan pada 2020.
Dr Dzulkefly Ahmad (bekas Menteri Kesihatan)
Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mempunyai pengalaman sebagai Menteri Kesihatan pada 2018 hingga 2020 di bawah kepimpinan Dr Mahathir.
Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (Amanah) itu juga digugurkan menjadi Menteri selepas Dr Mahathir meletakkan jawatan.
Berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Selangor pada PRU15, tak mustahil Dr Dzulkefly dilantik semula menjadi Menteri Kesihatan berdasarkan pengalamannya sebelum ini.
Shafie Apdal (bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah)
Datuk Seri Shafie Apdal sebelum ini pernah menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia pada 30 Mac 2004.
Kemudian, beliau menjadi Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Namun pada Julai 2015, dia digugurkan dalam rombakan kabinet yang dibuat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Wan Azizah Wan Ismail (bekas Timbalan Perdana Menteri)
Bergelar kepada isteri kepada Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Wan Azizah juga sebelum ini pernah menjawat jawatan penting dalam kabinet.
Selain menjadi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Wan Azizah juga pernah menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu juga merupakan wanita pertama yang memegang jawatan politik tertinggi negara.
Mohamad Sabu (bekas Menteri Pertahanan)
Walaupun ada yang pada awalnya sangsi dengan kemampuan Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, pemimpin itu tetap menunjukkan kemampuannya sebagai Menteri Pertahanan.
Mat Sabu yang juga Presiden Amanah dilantik oleh Dr Mahathir untuk menjadi Menteri pada Mei 2018 hingga Februari 2020.
Menjadi sebahagian daripada penyumbang undi kemenangan PH pada PRU15, tak mustahil Mat Sabu akan membuat kemunculan semula dalam kalangan jemaah Menteri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram