Tun M ucap terima kasih, tetap teruskan perjuangan


  • Politik
  • Sabtu, 26 Nov 2022

Dr Mahathir berharap mereka yang berada di belakangnya tidak kecewa dan berputus asa dengan kekalahan dialami. — Bernama

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lalu menyaksikan Tun Dr Mahathir Mohamed gagal mencapai kemenangan selepas tumpas di Langkawi dan hilang deposit dengan sekadar meraih 4,566 undi daripada keseluruhan 48,123 undi dalam pertembungan lima penjuru.

Namun kekalahan itu tidak melemahkan semangat beliau untuk meneruskan perjuangan agama, bangsa dan tanah air walaupun Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Gerakan Tanah Air (GTA) ditolak majoriti rakyat.

Pengerusinya, Dr Mahathir berkata, kekalahan dalam PRU15 baru-baru ini tidak bermakna perjuangan mereka tidak benar.

Dalam surat terbuka kepada 4,566 pengundi yang memilihnya ketika bertanding di Parlimen Langkawi, Dr Mahathir berharap mereka yang berada di belakangnya tidak kecewa dan berputus asa dengan kekalahan tersebut.

“Yakinlah bahawa walaupun kita tidak ramai, ia tidak bermakna perjuangan kita tidak benar. Malahan, kerana berpegang kepada prinsip perjuangan itulah kita kadangkala dipinggir.

“Walaupun saya mungkin tidak kenal setiap seorang dari tuan-tuan dan puan-puan tetapi saya merasa sangat berbesar hati kerana semangat, keberanian dan penolakan rasuah oleh semua untuk memberi undi kepada saya yang mewakili Pejuang dan GTA.

“Atas kesedaran ini, sekali lagi saya ingin ucap berbanyak-banyak terima kasih kerana mengundi saya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Keputusan di Langkawi menyaksikan Mohd Suhaimi Abdullah daripada Perikatan Nasional berjaya menang dengan majoriti 13,518 undi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram