Pelantikan Anwar tak patut dipertikai — Annuar Musa


  • Politik
  • Selasa, 29 Nov 2022

Annuar Musa (kiri) mahu hentikan pertikaian berkenaan lantikan Anwar selaku PM.

PELANTIKAN Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM) tidak seharus menjadi pertikaian.

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, ini kerana proses lantikan telah selesai dan ia adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk melantik Anwar yang pada hemat baginda mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

"Tumpuan kini haruslah untuk membentuk sebuah kerajaan yang mampu menunaikan tugas dan berkhidmat untuk rakyat dan negara.

"Dalam keadaan sekarang, yang diperlukan bukan saja perpaduan nasional, tetapi juga rekonsiliasi nasional. Hentikan pertikaian, perkasakan muafakat dan kerjasama," katanya menerusi kenyataan di akaun Facebook rasminya pada Selasa.

Menurut Annuar, satu proses pemulihan yang dapat membangkitkan semula keutuhan dan kekuatan negara bangsa yang mampu mendepani cabaran ekonomi, sosial dan politik global yang kian mencabar.

Jelasnya, masyarakat diharap berdoa supaya semua 221 orang ahli Parlimen yang telah terpilih itu akan menunaikan tanggungjawab mereka sebaik mungkin.

"Semoga Parlimen menjadi tempat suburnya amalan demokrasi berParlimen negara kita dengan nilai dan etika anggotanya yang boleh dibanggakan seluruh rakyat Malaysia," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram