BUDAYA penjawat awam pada hari ini perlu diubah, tegas Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai.
Pakar ekonomi itu berkata, penjawat awam ketika ini dilihat terlampau bergantung kepada pemimpin politik dan menteri.
Barjoyai
Beliau berkata, ini seterusnya menyebabkan mereka tidak akan melakukan langkah ke depan tanpa keputusan atau panduan daripada pemimpin politik.
"Jadi, kalau kita nak penjawat awam maju, mereka perlu melaksanakan (perkara yang dipersetujui) tanpa kenyataan atau arahan menteri atau pemimpin politik," katanya kepada Majoriti.
Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bergambar bersama penjawat awam pada November 2018. — Gambar hiasan
Pada masa sama, Prof Madya Dr Abu Sofian Yaakob berkata, semua penjawat awam mesti disediakan kemudahan asas sebelum mereka boleh melaksanakan arahan dan tugas dengan sempurna.
Sebagai contoh, pakar ekonomi itu berkata, ada di antara guru-guru yang berada di kawasan pedalaman mengalami kesukaran ketika berada di tempat kerja.
Abu Sofian
Katanya, ini termasuk terdapat sekolah didakwa mengalami masalah gangguan air, di samping kesukaran guru dan murid-murid untuk ke institusi pendidikan tersebut.
Antara kesukaran murid di Miri, Sarawak untuk pergi ke sekolah.
"Difahamkan, masih ada lagi guru dan murid yang terpaksa pergi ke sekolah dengan menyeberangi sungai dan ada juga terpaksa berulang alik dari rumah ke sekolah sehingga tempoh dua jam.
"Oleh itu, kerajaan perlu mengambil berat tentang bantuan yang diperlukan oleh agensi terlibat dan baru wujudnya koordinasi antara kerajaan dan penjawat awam," tambahnya.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak 1.6 juta penjawat awam supaya bangkit semula melakukan perubahan dalam usaha memaju dan membangunkan negara.
Perdana Menteri berkata, sebarang usaha ke arah kebaikan yang ingin dibawanya tidak mungkin berjaya jika tunggak dan pimpinan tertinggi perkhidmatan awam tidak sepenuhnya bersama beliau dalam pentadbiran.
Perkhidmatan awam, katanya, seharusnya bebas, bersikap profesional serta terikat kepada semangat ikrar perkhidmatan untuk menjadi manusia yang berguna kepada keluarga dan masyarakat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram