
SEJAK berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kebanyakan calon telah mencabut dan mengalihkan bahan kempen sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.
Parti politik, calon dan jentera mereka mempunyai masa sehingga Sabtu ini untuk menanggalkan baki bendera parti dan bahan kempen atau kehilangan deposit.
Sejak 2004, setiap calon ahli Parlimen dikehendaki membayar deposit tambahan RM5,000 untuk pembersihan kain rentang, bendera dan poster selepas pilihan raya.
Mengikut Seksyen 24B(8) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, sebarang bahan kempen pilihan raya yang dipamerkan atau dilekatkan hendaklah dikeluarkan oleh calon atau ejen pilihan rayanya dalam tempoh 14 hari selepas hari pengundian.
Jika gagal mematuhi arahan ditetapkan, deposit yang dibayar hendaklah dilucuthakkan dan dibayar kepada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan dan kos untuk mengalihkan bahan tersebut hendaklah dibayar daripada jumlah yang dilucut hakkan.
Beberapa bendera parti dan kain rentang masih boleh dilihat di beberapa kawasan di Cheras, Kuala Lumpur.
Sementara itu, bahan kempen daripada tiga gabungan utama Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan Perikatan Nasional dilihat masih berada di Persiaran Setia Perdana dan Persiaran Pulau Lumut di Shah Alam, Selangor.
Ahli Parlimen Cheras selama tujuh penggal, Tan Kok Wai berkata, pasukannya telah menurunkan bahan kempennya di kawasan Cheras dalam tempoh dua ke tiga hari selepas hari pengundian pada 19 November lalu.
"Kami mempunyai jentara yang efisyen. Mereka melakukan kerja siang dan malam untuk mengalihkan semua bahan kempen politik," katanya.
Sementara itu, calon Barisan Nasional untuk Parlimen Segambut, Daniel Ling Sia Chin berkata, dia sudah mengalihkan kesemua bahan kempen walaupun sudah kehilangan wang deposit.
"Jentera saya sudah membersihkan semua bahan kempen seawal hari Isnin selepas pengundian selesai.
"Walaupun saya tidak memperoleh semula wang deposit itu, menjadi tanggungjawab buat kami sebagai calon untuk mengalihkan dan membersihkan semua bahan kempen di jalan raya.
"Itu adalah tugas yang diberikan kepada calon dan kita tidak sepatutnya menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa," katanya.
Sia Chin menambah, walaupun kalah dalam PRU15, dia tetap akan terus berkhidmat kepada rakyat.
Jurucakap Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkata, calon diingatkan supaya menurunkan bahan kempen mereka sepanjang tempoh tangguh dua minggu ini selepas pengundian.
"Pegawai kami akan mengeluarkan bahan kempen yang masih digantung di kawasan awam di Shah Alam selepas tempoh tamat," katanya.
Jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, pihaknya akan menurunkan baki bahan kempen pilihan raya dari kawasan awam.
"DBKL akan meminta pegawai menurunkan bahan kempen yang ada dan calon akan kehilangan deposit mereka," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram