Tiada istilah tarik diri selepas jadi calon DUN Tioman — SPR


  • Politik
  • Selasa, 29 Nov 2022

Mohd Fadzli sepatutnya berdepan saingan lima penjuru bagi kerusi DUN Tioman pada PRU ke-15. — Bernama

NAMA calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Fadzli Mohd Ramly bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih tertera di kertas undi walaupun dilaporkan calon itu memberi laluan calon Barisan Nasional (BN).

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang, Datuk Zamree Hamli berkata, status pencalonan tidak boleh diubah selepas tempoh penamaan calon ditutup walau apapun pengumuman dibuat oleh pihak parti bertanding.

Zamree berkata, Mohd Fadzli daripada Amanah, iaitu komponen dalam PH, juga boleh terus berkempen dan pengundi juga masih boleh memberi undi kepada calon tersebut.

"SPR cuma menyediakan gelanggang untuk calon bertanding. Keputusan mereka untuk beri laluan itu atas dasar politik mereka sendiri," katanya ketika dihubungi pada Selasa berhubung kenyataan Amanah yang bersetuju memberikan laluan kepada calon BN dalam saingan DUN Tioman, mengambil kira perkembangan BN dan PH membentuk kerajaan negeri Pahang.

PRU15 DUN Tioman akan berlangsung 7 Disember ini, selepas ditangguhkan berikutan kematian calon Perikatan Nasional (PN), Md Yunus Ramli, 61, pada pukul 3.30 pagi hari pengundian 19 November lepas, dipercayai akibat serangan jantung.

Proses penamaan calon bagi DUN Tioman berlangsung pada 24 November lepas manakala 3 Disember ini ditetapkan hari pengundian awal.

Dalam pilihan raya itu, Mohd Fadzli sepatutnya berdepan saingan lima penjuru melibatkan calon BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain, Nor Idayu Hashim (PN), Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Sebelum ini, Mohd Fadzli dilaporkan bersedia memberi laluan kepada calon BN jika diarahkan pucuk pimpinan parti susulan kerjasama antara dua parti tersebut di Pahang selepas PRU15. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Amanah, Tioman, PH, BN, SPR