[VIDEO] Kecoh 4 sekeluarga dihalau keluar pesawat, tempat duduk ke Chiang Mai diisi penumpang lain


  • Tular
  • Khamis, 24 Nov 2022

Tangkap layar kekecohan berlaku dalam sebuah pesawat syarikat penerbangan terkemuka negara.

KECOH situasi di sebuah pesawat apabila beberapa penumpang difahamkan terpaksa menanggung kerugian akibat tiket penerbangan yang ditempah sudah dimiliki individu lain.

Kejadian itu dipercayai melibatkan sebuah keluarga yang terlebih dahulu membeli tiket di atas talian, namun alangkah terkejutnya mereka apabila kerusi yang ditempah telah diduduki penumpang lain.

Situasi itu sekali gus mengakibatkan mereka terpaksa melupakan hasrat bercuti kerana sepatutnya berlepas ke Chiang Mai, Thailand.

Sementara itu, mangsa turut mendakwa mereka dikasari pihak pengurusan syarikat penerbangan terbabit selepas diarah keluar dari pesawat tersebut.

Ia sekali gus menimbulkan kemarahan keluarga terlibat yang nyata tidak berpuas hati dengan proses pengendalian tiket penerbangan dan layanan syarikat itu.

Dikongsikan di laman Twitter, rakaman itu hangat diperkatakan warganet dan menerima lebih 100,000 jumlah tontonan setakat ini.

Susulan kejadian itu, mangsa difahamkan telah menerima ganti rugi duit sebanyak RM615 ke akaun e-dompet peribadi dan ditawarkan penginapan dua hari satu malam di sebuah hotel serta tiket penerbangan ke destinasi sama.

Mengulas lanjut berkenaan isu tersebut, syarikat penerbangan itu masih belum boleh mengeluarkan sebarang maklumat berkenaan insiden terbabit.

Namun, difahamkan kejadian tersebut telah diselesaikan dengan baik dan maklumat lanjut akan dikemukakan kemudian.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet mengecam situasi berkenaan.

"Sebagai bekas kakitangan syarikat penerbangan, mesti ada masalah dalaman dan kerosakan sistem yang berlaku ketika itu, pihak pengurusan tak akan panggil pengawal kalau situasi boleh dikawal dan mesti diingat bahawa bukan semua penumpang itu betul," kata Arzizil.

"Mesti penumpang itu buat kecoh dan protes pada kakitangan, kalau tak macam mana pengawal keselamatan pun boleh ada, lagipun dah dapat ganti rugi," jelas itsmenaqiu.

"Mustahil isu macam ini tak boleh dikesan daripada mula, penumpang dah duduk dalam pesawat baru nak periksa tiket memang la dia marah," tambah H.Nazrie.

Majoriti masih berusaha mendapatkan penjelasan terperinci berkenaan isu berkenaan daripada pihak pegawai komunikasi syarikat penerbangan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram