[VIDEO] Nahas 'King' rempuh lori 3 tan di Muar, ramai kata 2 mangsa nazak


  • Tular
  • Rabu, 23 Nov 2022

Tangkap layar kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Gersik.

DUA lelaki dilaporkan mengalami kecederaan parah selepas terlibat dalam satu kemalangan tragis di Simpang Utama Gersik, Muar, Johor pada Selasa.

Kejadian itu dilaporkan berlaku selepas sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi hilang kawalan dan merempuh sebuah lori muatan tiga tan di laluan tersebut.

Susulan pelanggaran itu, pemandu kereta berkenaan dilihat dalam keadaan nazak dan cedera parah ketika kejadian.

Dikongsikan di laman Telegram sejak Selasa, rakaman kemalangan hangat diperkatakan warganet dan menerima lebih 1,000 jumlah tontonan setakat ini.

Menurut kenyataan Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir pada Selasa, setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian, kedua-dua kenderaan itu telah terbabas dan mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah akibat tersepit di kenderaan masing-masing.

Difahamkan, pihak (PKO) berjaya mengeluarkan kedua-dua pemandu yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas dan mangsa kemudiannya diserahkan kepada ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.

Di ruangan komen, rata-rata warganet meluahkan kerisauan masing-masing berhubung kemalangan tersebut.

"Mudah-mudahan semua mangsa selamat, laluan situ memang bahaya dan kerap berlaku kemalangan, kalau memandu di laluan ini elakkan memotong kenderaan lain," kata Noor Muhammad Khalid.

"Ya ALLAH, nampak macam tengah nazak pemandu kereta itu, semoga semuanya dipermudahkan urusan buat kedua-dua mangsa," ujar Alfi.mzubair.

"Nampak macam kereta itu bawa laju tapi tak boleh nak salahkan mana-mana pihak, harap mangsa selamat sebab nampak keadaan agak parah," tambah Niknurjaimee.

Punca sebenar kemalangan masih belum diketahui dan belum ada kenyataan polis setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Kemalangan, Gersik, Muar, Johor, Myvi, Lori tiga tan,