[VIDEO] Angkara lambat toleh belakang, 2 rider bertembung lalu cium jalan di Subang Jaya


  • Tular
  • Khamis, 24 Nov 2022

Tangkap layar dua penunggang motosikal bertembung di sebuah jalan raya dekat Subang Jaya, Selangor pada Rabu.

DUA penunggang motosikal tercampak lalu jatuh tersembam atas jalan selepas bertembung sesama sendiri dalam satu kemalangan di sebuah jalan raya dekat Subang Jaya, Selangor pada Rabu.

Kemalangan itu dipercayai berlaku akibat kecuaian seorang penunggang yang tidak menoleh ke belakang ketika keluar memotong di laluan berkenaan.

Susulan itu, seorang lagi penunggang lain yang datang dari arah belakang kemudiannya merempuh suspek sehingga tercampak di lokasi kejadian.

Lokasi sebenar belum diketahui setakat ini namun ia dipercayai berlaku di laluan sekitar Subang Jaya, Selangor.

Dikongsikan di laman Facebook, kemalangan terbabit hangat diperkatakan netizen dan menerima lebih 30,000 jumlah tontonan setakat ini.

Berdasarkan rakaman tersebut, penunggang yang datang dari arah belakang itu dipercayai menunggang dalam keadaan laju dan gagal menekan brek kecemasan ketika insiden berkenaan.

Meskipun laluan jalan raya agak sesak dan sempit, kedua mereka dilihat memandu dalam keadaan berbahaya apabila tidak mengekalkan jarak selamat antara kenderaan di situ.

Kemalangan itu sekali gus mencetuskan kekecohan di laluan terbabit dan seorang penunggang lelaki berbaju putih dilihat berhenti memberikan bantuan.

Rata-rata warganet meninggalkan komen berhubung kemalangan terbabit.

"Kalau nak keluar ataupun memotong tengok la kiri kanan dan depan belakang dulu, jangan main keluar bila berlanggar dah susahkan semua orang," jelas Izzat Azraeei.

"Lain kali jangan laju sangat memandu kalau jalan tengah sesak macam itu, takut ada yang nak melintas dan kereta tukar lorong itu yang boleh berlanggar," kata Are Larm.

"Kena betul-betul toleh belakang sebelum memotong, jalan sesak memang tak akan nampak penunggang dari arah belakang," tambah Danial Raiss.

Namun, kedua-dua penunggang difahamkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan setakat ini belum ada sebarang laporan daripada pihak polis berhubung kemalangan terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram