TINDAKAN sekumpulan pemain bola sepak Indonesia yang meninggalkan sebuah rumah inap desa di Segamat, Johor dalam keadaan bersepah dan kotor mengundang kemarahan si pemilik.
Kejadian itu difahamkan berlaku selepas mereka menginap selama dua hari satu malam di rumah berkenaan dan hasil tinjauan pemilik mendapati rumah itu ditinggalkan dalam keadaan yang menjijikkan dan busuk.
Didiami lebih kurang 21 penghuni, kebanyakan mereka merupakan pemain bola yang mewakili kelab dari Indonesia yang bakal berentap pada perlawanan Liga Serumpun empat negara iaitu, Singapura, Australia, Indonesia dan Malaysia.
Lebih memalukan, beberapa pakaian dalam dan sisa makanan turut kelihatan di ruang bilik dan dapur inap desa tersebut.
Dikongsikan di laman TikTok, rakaman tular itu hangat diperkatakan warganet dan menerima lebih 150,000 jumlah tontonan setakat ini.
Meskipun rumah tersebut dikatakan agak besar dan cukup untuk kapasiti penghuni seramai itu, namun situasi dan kesan kekotoran dialami pemilik amat menyedihkan.
Pengurus inap desa berkenaan, Intan Sarini, 41, berkata, rumah tersebut terlampau kotor seolah-olah dihuni 100 orang.
"Baru dua malam duduk dah bersepah macam itu, kalau seminggu apatah lagi dan yang peliknya bukannya sampai beratus orang yang duduk.
"Makanan terbiar, rumah berpasir dan berbau busuk sangat macam tak ada adab langsungsa.
"Faham mereka pemain bola sepak tapi habis berpasir rumah dan pakaian dalam pun mereka letak merata, keadaan tandas lagi la kotor tak payah nak kata.
"Sampai sekarang pun kami masih belum siap mengemas dan jumlah sampah yang dipungut memang banyak bertimbun-timbun," katanya kepada Majoriti.
Mengulas lanjut berkenaan soal bayaran dan harga sewa, kesemua pemain itu hanya dikenakan sebanyak RM350 untuk semalam.
"Kami kenakan bayaran sebanyak RM350 untuk bilangan kapisiti 15 orang ke atas dan mereka semua tiada masalah untuk membayar.
"Tapi lain pula jadinya bila rumah ditinggalkan dalam keadaan bersepah, harap perkongsian ini boleh dijadikan pengajaran untuk semua penghuni inap desa lain," tambahnya.
Pihak pengurusan difahamkan tidak membuat sebarang laporan polis berhubung isu tersebut dan meminta agar orang ramai lebih prihatin terhadap isu kebersihan semasa menginap di inap desa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram