
RANCANGAN pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam akan disiapkan tidak lama lagi dengan kerja-kerja pembinaan dijangka dimulakan pada suku pertama tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemaju lantikan negeri, MRCB sedang memuktamadkan konsep dan rancangan pembangunan stadium serta kemudahan sekitarnya iaitu Stadium Malawati, Stadium Mini Shah Alam dan Shah Alam Extreme Park.
“Kami juga sedang menunggu kajian integriti dilakukan. Antara aspek paling penting untuk dilihat adalah kestabilan tanah dan memastikan tiada pergerakan air.
“Jika mengikut garis masa, kami terlewat sedikit kerana Pilihan Raya Umum ke-15 tetapi kini kami cuba percepatkan proses tersebut,” katanya.
Beliau menjawab soalan Zakaria Hanafi (Barisan Nasional- Semenyih) mengenai status projek itu pada persidangan Dewan Undngan Negeri (DUN).
Amirudin berkata, pembangunan itu bukan sahaja merangkumi kemudahan sukan dan riadah tetapi juga merangkumi komponen komersil untuk terus memacu aktiviti ekonomi, sekali gus memberi peluang kepada kawasan itu untuk membangun dengan sendiri pada masa depan.
"Kami telah menerima maklum balas awal yang baik daripada orang ramai berikutan pengumuman kedua untuk projek itu (pada September)."
Terdahulu, StarMetro melaporkan bahawa struktur stadium sedia ada akan dirobohkan untuk menyelesaikan isu utama banjir kilat dengan membangunkan padang boleh alih baharu.
Padang baharu itu akan terletak di dalam stadium berbumbung yang dilengkapi sistem pengairannya sendiri.
Dengan ini, penggunaan parit tidak diperlukan dan perkara tersebut membolehkan penonton berasa lebih dekat dengan padang.
Stadium ini boleh ditukar untuk kegunaan dalaman atau luaran dengan padang bergerak dan akan dapat menampung antara 35,000 dan 45,000 penonton.— The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram