KALENDAR 2022 boleh dikatakan musim terburuk Sri Pahang FC dengan menyaksikan skuad Tok Gajah mengakhiri kempen Liga Malaysia dengan kekalahan memalukan di tangan Terengganu FC (TFC) pada kempen Piala Malaysia tahun ini.
Perjalanan anak-anak buah Datuk Dollah Salleh sekadar tersekat di peringkat kalah mati apabila ditunjukkan jalan keluar oleh TFC dengan dengan keputusan agregat 3-9.
Penyingkiran pada kempen Piala Malaysia itu hanya menambah duka penyokong selepas pasukan Tok Gajah hanya mampu menamatkan saingan Liga Super di tangga ketujuh dengan hanya 28 mata berjaya dikumpul.
Ketika penggemar pasukan lain masih gigih menyokong skuad kegemaran mereka beraksi bagi saki baki saingan Piala Malaysia, penyokong Tok Gajah hanya mampu mengimbau kembali zaman kegemilangan Sri Pahang.
Pahang dinobatkan juara Piala Malaysia pada 2013 selepas menewaskan Kelantan 1-0. — Instagram
Musim-musim terbaik Pahang itu bukan hanya dirindukan oleh penyokong malah bekas tonggak import Tok Gajah, Matias Ruben Conti turut merindui zaman kehebatan pasukan itu.
Penyerang kelahiran Argentina itu membuat hantaran di laman Instgram miliknya dengan melampirkan beberapa gambar sewaktu Pahang merangkul kejuaraan Piala Malaysia 2013.
“Piala Malaysia 2013/14. Saya sentiasa bersyukur kerana pernah menjadi sebahagian daripada kejayaan,” tulisnya pada hantaran itu.
Hantaran dari Conti itu mendapat pelbagai reaksi daripada penyokong Tok Gajah dan rata-ratanya merindukan sentuhan penyudah penyerang import itu.
Tidak kurang juga ada yang mengimpikan agar pemain berusia 32 tahun itu kembali menyarung jersi Sri Pahang dan bergandingan bersama penyerang import dari Colombia, Andres Steven Titi Rodriguez.
Tahun 2015 menjadi musim terakhir Conti bersama Pahang dan dia membuat keputusan menyertai kelab Chile, U. Concepcion ada 2016. — Instagram
“Matias dah bosan main liga Indonesia. Asyik tangguh liga. Jika jadi pemilik, aku ambil dia berganding dengan Titi,” kata penyokong Tok Gajah, Syam Along.
“Conti bergandingan dengan Titi. Mantap,” komen penyokong Sri Pahang, Wan Ain.
“Conti kembali ke Pahang jika jurulatih, Datuk Dollah mahu seorang penyerang terbaik musim depan,” tulis peminat Tok Gajah, Zulkipli Hj Sudin.
Bekas tonggak Pahang itu mula menyertai skuad Tok Gajah pada 2013 dan semasa debutnya bersama pasukan berkenaan, dia menjaringkan lima gol ketika aksi persahabatan bertemu kelab Shahzan Muda.
Jaringannya yang paling diingati oleh penyokong Tok Gajah apabila Conti menjadi penjaring tunggal sewaktu perlawanan akhir Piala Malaysia 2013.
Pahang muncul juara Piala Malaysia 2013 selepas mengalahkan juara bertahan, Kelantan 1-0 pada perlawanan akhir Stadium Shah Alam, Selangor.
Kemenangan itu juga menamatkan kemarau kejuaraan Piala Malaysia selepas kali terakhir Pahang menjadi juara pada tahun 1992. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram