'Malu kat orang Terengganu', Selangor FC diminta baik pulih Stadium MBPJ


  • Podium
  • Jumaat, 18 Nov 2022

Sebahagian penyokong Terengganu FC yang hadir memberikan sokongan kepada pasukan mereka ketika perlawanan menentang Selangor FC di Stadium MBPJ. — Facebook / Terengganu FC

DI sebalik kegembiraan penyokong Selangor FC (SFC) melihat pasukan kesayangan mengutip bekalan selesa 3-1 ketika menentang Terengganu FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pada Rabu, ada rasa kurang senang dizahirkan penyokong pasukan pelawat.

Ini selepas ada sebahagian penyokong Terengganu FC yang menyuarakan tentang fasiliti stadium yang bermasalah dan menjejaskan keselesaan sepanjang menonton perlawanan.

Di ruangan komen Facebook rasmi SFC, seorang penyokong Terengganu FC, Ridzuan Musa memohon pihak pengurusan stadium dan SFC supaya lebih cakna dengan keadaan fasiliti di stadium.

"Mohon SFC, pengurusan stadium baiki tandas, lampu tiada, paip tak ada...tandas di belakang pintu gol stadium MBPJ.

"Mohon sangat-sangat pengurusan cakna benda ini. Kami penyokong Terengganu FC mohon sangat perbaiki permasalahan ini," katanya.

Kata Ridzuan lagi, keadaan tandas juga dilihat seakan-akan terbiar dan tidak diuruskan dengan baik.

"Sedih sangat bang, pihak pengurusan langsung tak cakna benda basic macam ni, tandas dah macam stadium terbiar. (Liga Bola Sepak Malaysia) (MFL) MFL-SFC mohon turun bawah melihat sendiri venue perlawanan di semua stadium...mohon sangat-sangat," tulisnya.

315530766_1598512440579431_7044472728060776174_n

Sebahagian penyokong Terengganu FC yang hadir memberikan sokongan kepada pasukan mereka ketika perlawanan menentang Selangor FC di Stadium MBPJ. — Facebook / Terengganu FC

Seorang lagi penyokong, Muhamad Fazrol turut bersetuju sambil menambah masalah melibatkan tandas tiada air juga membabitkan bilik air di bahagian grandstand.

"Toilet yang grandstand pun sama, tiada air juga. Tiket mahal RM25 tapi benda asas macam ni pun tiada," adunya.

Sementara itu, penyokong Selangor turut meminta MBPJ mengambil perhatian terhadap isu yang diutarakan penyokong pelawat.

"Saya penyokong selangor sedih dengan stadium MBPJ...saya sendiri anak jati Petaling Jaya," ujar Mohd Noor Maula.

"MBPJ Aduan tolong lihat. Malu kat orang Terengganu," tulis Kunta Kinte pula.

Stadium MBPJ menjadi home kepada pasukan Petaling Jaya City FC dan Selangor FC.

Ia mampu memuatkan kira-kira 25,000 orang pada satu-satu masa.

Pasukan Merah Kuning tidak dapat beraksi di gelanggang utama mereka, Stadium Shah Alam berikutan keadaan uzur dan masalah kerosakan lain.

Untuk rekod, stadium yang menjadi lambang kemegahan Selangor itu akan dirobohkan dan bakal digantikan dengan stadium baharu yang dijangka siap menjelang 2026. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram