STADIUM Shah Alam yang menjadi ikon kepada pembangunan sukan negeri, tidak sepatutnya dirobohkan jika diselenggara dengan baik oleh kerajaan negeri, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar.
Beliau berkata, adalah sesuatu yang mendukacitakan jika kerajaan negeri mengambil keputusan itu kerana pembangunan yang sedia ada sepatutnya diteruskan kesinambungannya walaupun diterajui oleh kerajaan dan parti berbeza.
Noh berkata, sebagai anak Selangor, Stadium Shah Alam mempunyai nilai sentimental kepada dirinya dan rakyat negeri itu.
"Kalau nak diruntuhkan, saya rasa dukacita kerana sepatutnya stadium terbesar dan terhebat di negeri Selangor itu diteruskan (tidak diroboh) dan penyelengaraan perlu dibuat.
Keadaan terkini Stadium Shah Alam selepas dua tahun tidak diselenggara. — Facebook
"Sepatutnya bila sudah tiga penggal memerintah, stadium itu diselenggara dan dijaga sebagaimana yang kita (kerajaan Barisan Nasional) buat dahulu.
"Ia seperti rumah, kalau dibiarkan 10 tahun baru nak baiki, memang ia kena runtuh... sayang kalau nak roboh dan bina baharu,” katanya kepada pemberita semasa Program Korban Perdana Parlimen Tanjung Karang, Selangor pada Isnin.
Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, persoalan sama ada kerajaan negeri melakukan kerja-kerja penyelenggaraan ke atas stadium yang dibina pada 1994 itu perlu dijawab oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Sebelum ini, media melaporkan Amirudin tidak menafikan terdapat cadangan untuk merobohkan Stadium Shah Alam dan pihaknya akan menjelaskan secara terperinci mengenai cadangan pembangunan terbaharu stadium itu pada 16 Julai ini. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram