[VIDEO] Mentaliti rendah, Caion melenting penyokong TFC baling batu selepas gagal ke final


  • Tular
  • Selasa, 22 Nov 2022

Tangkap layar menunjukkan kenderaan bas pemain Selangor yang retak di bahagian tingkap akibat lontaran batu daripada penyokong Terengganu FC.

TINDAKAN beberapa penyokong Terengganu FC yang mencetuskan protes dan rusuhan selepas perlawanan menentang Selangor FC dalam perlawanan separuh akhir di Stadium Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada Isnin mengundang perhatian ramai.

Ketika kejadian, beberapa individu dilaporkan bertindak ganas apabila melontar batu dan menghalang laluan bas pemain pasukan Selangor selepas tamat perlawanan.

Meskipun TFC berjaya mencatatkan kemenangan hasil jaringan Tchetche Kipre pada minit ke-35, namun skuad Gergasi Merah berjaya mengesahkan tempat dalam perlawanan akhir selepas keputusan perlawanan penuh menyaksikan anak buah Tan Cheng Hoe itu menang dengan agregat 3-2.

Susulan keputusan itu, penyokong TFC nyata tidak berpuas hati apabila menimbulkan kekecohan di luar stadium.

Lebih memalukan, situasi itu turut mengundang kemarahan penyerang import Selangor, Herlison Caion yang kecewa dengan sikap dan mentaliti rendah segelintir penyokong di Terengganu.

Memuat naik video di Insta Story peribadi, insiden tersebut hangat diperkatakan di laman media.

Serangan itu sekali gus mengakibatkan tingkap bas pasukan Selangor mengalami keretakan dan pecah akibat dilontar batu oleh penyokong skuad Penyu.

Meskipun berada di dalam bas, serangan itu nyata menimbulkan ketakutan dalam kalangan pemain khususnya Caion yang dilihat tidak senang duduk ketika kejadian.

Memuat naik kapsyen bertulis "Mereka tidak kenal erti tewas, satu sikap yang sangat teruk," perkongsian itu menerima sokongan ramai warganet yang rata-ratanya turut mengecam situasi berkenaan.

"FAM perlu ambil tindakan segera, gantung pasukan Terengganu FC dalam saingan liga atau mana-mana perlawanan untuk pengajaran kepada penyokong dan kepada pemain, dah boleh cari pasukan lain tahun depan," kata Manggo Float Krabi.

"Penyokong dari gua batu mana tu, kalau sekali sekala turun stadium memang macam itu la jadinya," ujar Ibrahim Hj Sulong.

"Kalah menang adat perlawanan, tak perlu pun nak protes dan merusuh macam itu, memalukan penyokong Terengganu betul," tambah Rosaidi Zakaria.

Selangor FC berpeluang menamatkan kemarau kejuaraan Piala Malaysia apabila bakal membuat perhitungan dalam perlawanan akhir menentang Johor Darul Takzim (JDT).

Untuk rekod, kali terakhir skuad Gergasi Merah mara ke peringkat akhir Piala Malaysia ialah pada 2016 apabila tewas bertemu Kedah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram