Muhyiddin terima lebih 112 sokongan jadi PM — PN


  • Politik
  • Isnin, 21 Nov 2022

Hamzah memaklumkan, Muhyiddin sudah mendapat lebih 112 sokongannya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

PERIKATAN Nasional (PN) sudah pun mengemukakan akuan bersumpah (SD) yang menyokong calon perdana menteri untuk mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong bagi membentuk kerajaan Persekutuan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu dilakukan setelah memperoleh sokongan lebih 112 Ahli Parlimen, yang memberikan kepercayaan kepada Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi Perdana Menteri ke-10.

"Jumlah itu diperlukan untuk pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam perkembangan lain, segelintir netizen melakukan usikan, apabila menyifatkan pertemuan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sebagai 'Langkah Seri Pacific'.

Pertemuan diadakan di Hotel Seri Pacific, dekat ibu negara pada Isnin itu bagi membincangkan tentang kerjasama penubuhan kerajaan Persekutuan.

Antara yang kelihatan adalah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan; Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Manakala Ahli Parlimen lain turut kelihatan termasuk Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dan juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

ph-12

Gambar pertemuan pemimpin BN-PH tular pada Isnin.

Nama 'Langkah Seri Pacific' itu diberi dipercayai bagi mengajuk semula pembentukan kerajaan 'Langkah Sheraton' yang berlaku pada dua tahun lepas.

Langkah Sheraton pada 24 Februari 2020 menyaksikan 11 Ahli Parlimen diketuai bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, keluar parti.

Tindakan itu menyusul apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan keluar daripada PH pada hari sama, menyebabkan gabungan yang menjadi kerajaan ketika itu hilang majoriti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram