KEPUTUSAN tidak rasmi kiraan undi Pilihan Raya Umum ke-15 menunjukkan Pakatan Harapan (PH) selesa mendahului 65 kerusi Parlimen setakat pukul 1.00 pagi Ahad.
Mengikut data yang disiarkan secara langsung MyUndi, Barisan Nasional (BN) meraih 30 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh 73 kerusi.
Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilaporkan tidak berdepan masalah untuk menguasai Sarawak dengan 22 kerusi.
Gerakan Tanah Air (GTA) yang dipimpin parti Pejuang masih belum meraih sebarang kerusi manakala Warisan mendapat dua kerusi secara keseluruhan.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pula mendapat enam kerusi dan lain-lain parti juga mendapat tiga kerusi.
Seramai 21,173,638 pemilih berdaftar layak mengundi bagi PRU15.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan lebih 70 peratus pemilih telah keluar mengundi.
Pengundian pada Sabtu melibatkan 221 kerusi Parlimen berikutan pilihan raya Parlimen Padang Serai diadakan berasingan susulan kematian calon PH yang juga penyandang kerusi itu, M. Karupaiya pada Rabu lepas.
PRU kali ini juga menyaksikan sebanyak 117 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan iaitu di Perak (59), Pahang (42), Perlis (15) dan satu kerusi di Bugaya, Sabah.
Namun, pengundian kerusi DUN Tioman tidak dapat diadakan berikutan kematian calon PN, Md Yunus Ramli kira-kira 3.30 pagi Sabtu di Hospital Rompin, Pahang.
Susulan itu, SPR menetapkan pengundian bagi kerusi Parlimen Padang Serai dan kerusi DUN Tioman diadakan pada 7 Disember dengan hari penamaan calon pada 24 November dan hari mengundi awal pada 3 Disember.
Pengundian awal telah berlangsung pada Selasa lepas dengan 94.72 peratus atau 212,961 pengundi melibatkan anggota keselamatan dan pasangan melaksanakan tanggungjawab.
Sejumlah 224,828 pengundi awal berdaftar yang terdiri daripada 117,473 anggota tentera dan pasangan, 107,355 anggota polis dan pasukan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram