[VIDEO] Sehari sebelum mengundi, fenomena hujan batu kejutkan penduduk Jasin


  • Tular
  • Jumaat, 18 Nov 2022

Tangkap layar fenomena hujan batu yang melanda di daerah Jasin, Melaka.

FENOMENA hujan batu yang melanda di daerah Jasin, Melaka pada Jumaat petang mengundang perhatian ramai susulan situasi pelik itu dikatakan belum pernah berlaku sebelum ini.

Terkejut dengan insiden itu, rata-rata penduduk tidak melepaskan peluang menyaksikan tragedi tersebut di luar rumah.

Dikongsikan di laman Facebook, rakaman itu hangat diperkatakan dan menerima pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.

Video tersebut jelas menunjukkan hujan yang melanda di kawasan tersebut merupakan timbunan batu yang turun dari langit.

Kebiasaannya hujan lebat, ribut petir, banjir kilat dan angin kencang merupakan antara fenomena alam yang sering berlaku di negara ini.

Namun, fenomena hujan batu jarang berlaku dan kali terakhir ia dilaporkan berlaku adalah pada Januari lalu di Kuala Lumpur.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet meluahkan pendapat behubung fenomena itu.

“Akhirnya Jasin dah jadi negeri bersalji, biasanya kalau lepas dah hujan batu ni mesti akan turun salji," kata Danial Danny.

"Bertuah la orang Jasin dapat saksikan fenomena hujan batu, seumur hidup saya belum pernah lagi saksikan kejadian pelik macam itu," jelas Sham.

"Sekitar empat ke lima tahun dahulu pernah juga terjadi hujan batu seperti ini di Sungai Udang, tak sangka kali ini berlaku di Jasin pula," tambah Dee Diyana.

Namun, menurut penduduk setempat, kejadian itu difahamkan hanya berlaku selama lima ke sepuluh minit sahaja sebelum hujan kembali normal seperti biasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Fenomena Hujan Batu, Jasin, Melaka,