
PERBUALAN sekumpulan anak muda yang dilihat secara terang-terangan mempersendakan agama Islam dan menghina nabi tular di media sosial.
Tangkap layar bertarikh 31 Julai 2020 itu memaparkan perbualan mempersendakan ALLAH SWT, Nabi Ibrahim AS, Nabi Ismail AS dan Malaikat Jibril - dipercayai merujuk kisah pengorbanan kedua-dua nabi - kononnya untuk bahan pertunjukan kostum.
Perbualan itu bukan sahaja melibatkan beberapa pemilik akaun Twitter, malah lebih mengejutkan ia turut membabitkan seorang calon DAP berbangsa Melayu, Islam yang bertanding di kerusi Parlimen Bangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Tangkap layar perbualan di laman Twitter.
Tampil mengulas mengenai perkara itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad mengakui kesal dengan tindakan tersebut.
"Mengucap panjang saya melihat perbualan anak muda ini di Twitter, yang menghina nabi kota yang mulia, malah disebut pula nama ALLAH seolah mahu mempermainkan agama.
Tangkap layar hantaran di laman Facebook Idris.
"Apa yang lebih saya kecewa, antara perbualan Twit ini tertera seorang calon DAP berbangsa Melayu dan beragama Islam, yang bertanding di tempat yang menjadi bandar ilmu dan Islam dan bangga dengan tokoh ulama, Allahyarham Datuk Dr Haron Din.
"... yang saya juga difahamkan beliau juga adalah Setiausaha Politik Lim Kit Siang, Tuan Syahredzan Johan,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Rabu.
Beliau berkata, perbualan menghina agama seumpama itu tidak sepatutnya dibiarkan dan perlu diberikan pengajaran.
"Jika marah pun dengan mana-mana pihak yang membawa mesej agama, bukan ini caranya. Seseorang perlu bertanggungjawab terhadap tulisan seperti ini.
"Pihak berkuasa perlu dimaklumkan atas perbuatan seperti ini. Kita tak boleh biarkan kebebasan untuk meluahkan apa sahaja termasuklah dalam urusan agama dipandang ringan dan berleluasa. Pengajaran berat perlu dibuat!," tegasnya.
Pada PRU15, Idris yang juga Naib Presiden PAS berdepan pertembungan empat penjuru di kerusi Parlimen Bagan Serai.
Idris yang mewakili Perikatan Nasional (PN) menggantikan penyandang sebelum ini, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali, dicabar calon Barisan Nasional (BN), Zul Helmi Ghazali; calon Pakatan Harapan (PH), Siti Aishah Shaikh Ismail dan calon Pejuang, Ahmad Luqman Ahmad Yahaya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai hari pengundian PRU15. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram