KAJIAN atau penilaian semula kos selenggara rumah di Residensi Razakmas 2 di ibu negara merupakan antara yang perlu diberi perhatian calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) di Parlimen Bandar Tun Razak (BTR).
Pengerusi Persatuan Penduduk Razakmas 2, Yusof Abd Rahman, 70, berkata, majoriti penduduk di apartment tersebut adalah mereka yang berpindah dari Flat Sri Labuan, Kuala Lumpur.
"Majoriti penduduk di sini adalah golongan B40 dan mereka yang sudah tua. Sebelum ini di Flat Sri Labuan, bayaran kos selenggara hanya RM45 sebulan.
"Tetapi di rumah baharu, kos itu naik sehingga RM177.10 yang membuatkan ramai terkesan dengan jumlah tersebut.
Pengerusi Persatuan Penduduk Razakmas 2, Yusof Abd Rahman.
"Akhirnya, ada yang tidak bayar dan membuatkan tunggakan kos selenggara meningkat dan usaha untuk mengurangkan sedikit kos tersebut tidak dapat dilakukan," katanya kepada Majoriti.
Menurut Yusof, mengikut undang-undang Badan Pengurusan Bersama (JMB), rumah yang tidak membayar kos selenggara boleh dikenakan tindakan dan ini akan memberi kesan kepada penduduk.
Jelasnya, disebabkan itu dia mahu calon yang bertanding supaya meneliti hal ini dan memberikan bantuan sewajarnya.
Calon yang bertanding untuk PRU15 di Parlimen Bandar Tun Razak (dari kiri) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Pakatan Harapan), Datuk Chew Yin Keen (Barisan Nasional) dan Datuk Kamarudin Jaffar (Perikatan Nasional).
"Kalau boleh saya mahu calon yang bertanding untuk berbincang dengan JMB untuk mencari penyelesaian berkaitan isu kos selenggara ini.
"Sebab bukan semua tidak mahu bayar. Ada yang tidak memiliki kemampuan untuk bayar kerana sudah tua dan kemampuan kewangan rendah.
"Jadi kalau boleh golongan macam ini kita siasat dahulu dan beri bantuan yang sepatutnya. Sama ada bantuan bulanan atau pengurangan bayaran," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram