TINDAKAN dua lelaki dipercayai warga asing yang menggantikan bendera parti Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) di Kinta, Perak mengundang perhatian ramai.
Kejadian itu dipercayai berpunca akibat persaingan antara kedua parti tersebut menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang bakal tiba tidak lama lagi.
Difahamkan, hampir kesemua bendera parti Pakatan Harapan di situ ditanggalkan oleh kedua-dua individu tersebut dan difahamkan ia dilakukan atas arahan seseorang yang tidak dikenali.
Dikongsikan di laman TikTok, insiden itu menerima lebih 100,000 jumlah tontonan setakat ini.
Meskipun cuba menidakkan perbuatan tersebut, lelaki terbabit akhirnya terpaksa mengakui akan segala kesalahan yang dilakukan selepas beberapa kali disoal si perakam.
Menurutnya, bendera yang ditanggalkan akan digantung semula di belakang pagar namun ia jelas menunjukkan bahawa perbuatan itu hanya menyebelahi sebelah pihak tertentu.
Tindakan itu diarahkan oleh seseorang individu namun identitinya kekal dirahsiakan oleh pemuda terbabit.
Di ruangan komen, rata-rata warganet mengecam perbuatan warga asing tersebut termasuk kemungkinan warga asing itu digunakan sebagai jentera batu api untuk melaga-lagakan parti yang bertanding.
"Perkara biasa terjadi kalau nak dekat pilihan raya, warga asing pun dibayar untuk cabut dan pasang bendera parti," kata Aqildarwisyy.
"Senang nak buat duit warga asing sekarang, kerja semua diberi sampaikan menjelang pilihan raya negara kita pun mereka boleh kutip duit poket," jelas Farissamir92.
"Itu baru nak pasang bendera, belum lagi kalau masa pilihan raya, silap-silap warga asing pun boleh mengundi, terus dapat kad pengenalan secara automatik," tambah Hanis Zariman.
Namun, setakat ini belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa berhubung insiden tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram