[VIDEO] Halang staf KKM bawa pesakit di Kuala Selangor, 3 lelaki sudah kena cekup polis


  • Tular
  • Khamis, 10 Nov 2022

Tangkap layar kekecohan yang berlaku melibatkan petugas kementerian kesihatan dan beberapa orang awam di sebuah pasar raya sekitar Kuala Selangor.

TIGA lelaki ditahan polis selepas didakwa menghalang kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merawat pesakit di sebuah pasar raya di Kuala Selangor, Selangor pada Rabu.

Kejadian itu dilaporkan berlaku pada Selasa apabila seorang wanita difahamkan mengalami kecederaan serius dan memerlukan bantuan kecemasan ketika kejadian.

Namun, situasi itu bertukar kecoh apabila tiga lelaki dilihat mengganggu dan menolak salah seorang kakitangan hospital di situ.

Dikongsikan di laman Facebook, rakaman tular itu hangat diperkatakan warganet apabila mula tular sejak Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superitendan Ramli Kasa berkata, lelaki berusia 17, 21 dan 35 tahun itu telah ditahan untuk siasatan lanjut.

"Ketika kejadian, seorang perempuan dilaporkan mengalami kecederaan sebelum petugas kesihatan tiba di pasar raya tersebut.

"Namun, semasa membawa pesakit ke dalam ambulans, beberapa individu didakwa melakukan serangan ke atas pemandu kesihatan terbabit," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sehubungan itu, penolong pegawai perubatan yang bertugas telah membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut pada Rabu.

"Susulan laporan tersebut, polis telah menahan ketiga-tiga suspek pada hari sama laporan itu dibuat bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan," tambahnya.

Susulan insiden terbabit, Ramli menasihatkan orang ramai supaya tidak menghalang mana-mana penjawat awam semasa menjalankan tugas.

Punca sebenar kejadian masih disiasat polis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram