SEORANG lelaki gagal mengawal kemarahannya apabila bertindak memarahi pihak pengurusan dan pekerja di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada Selasa.
Kejadian itu difahamkan berpunca akibat layanan kurang memuaskan diterima dari pengurusan hotel tersebut yang didakwa gagal menepati masa dan mengekalkan kebersihan bilik.
Lebih memalukan, beberapa lagi pengunjung lain turut menghadapi masalah sama apabila terpaksa menunggu lama di lobi sebelum dibenarkan masuk ke bilik.
Susulan itu, salah seorang mangsa yang dikenali sebagai Sharmsoul memuat naik video luahan di TikTok berhubung kejadian tersebut.
Berdasarkan rakaman itu, mangsa difahamkan terpaksa menunggu sehingga pukul 5.30 petang sebelum dibenarkan memasuki bilik.
Sebaik dibenarkan masuk, alangkah terkejutnya dia apabila suasana bilik itu dikatakan terlampau kotor dan dipenuhi dengan sisa sampah daripada pengunjung terdahulu.
Difahamkan, isu berkenaan berlaku susulan masalah ketandusan pekerja yang dialami hotel tersebut kerana baru sahaja beroperasi secara menyeluruh selepas wabak Covid-19.
Menurut pengurus itu yang mahu identitinya dirahsiakan, situasi itu berlaku keranan masalah kekurangan pekerja sememangnya dihadapi oleh kebanyakan hotel ketika ini.
"Hotel kami menghadapi masalah kekurangan pekerja kerana baru sahaja mula beroperasi selepas wabak Covid-19 dan ia merupakan isu yang dihadapi kebanyakan hotel ketika ini.
"Tambahan pula pada hujung minggu, hampir kesemua bilik dipenuhi dengan pengunjung, jadi proses untuk membersih itu akan mengambil sedikit masa sebelum pengunjung dibenarkan masuk.
"Kami sudah memaklumkan kepada semua pengunjung bahawa akan ada sedikit kelewatan berlaku namun salah seorang daripada mereka gagal menahan sabar dan memarahi pihak hotel," katanya kepada Majoriti.
Mengulas lanjut mengenai isu kebersihan bilik yang kurang memuaskan, dia lantas menepis dakwaan tersebut.
"Meskipun kekurangan pekerja, kami masih mengekalkan tahap kebersihan yang terbaik dan sepatutnya ia bukan satu isu besar.
"Sesetengah orang mungkin terlampau pentingkan kebersihan sehingga tak boleh jumpa sebarang cap jari ataupun habuk di bilik, jadi perkara seperti itu sukar kami nak pastikan," tambahnya.
Pihak hotel difahamkan telah membuat permohonan maaf susulan isu tersebut dan pengunjung terbabit diberikan baucar jamuan makan sebagai 'ganti rugi'. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram