Bukit Aman telus siasat kes koyak poster, buang bendera parti sepanjang kempen PRU15


  • 112
  • Selasa, 15 Nov 2022

Antara kes khianat dilakukan ketika kempen PRU15.

SEPANJANG 14 hari tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tentu sahaja timbul pelbagai provokasi bagi melemahkan semangat parti-parti bertanding.

Ini termasuk kes khianat mengoyakkan poster, buang bendera parti politik dan lain-lain kesalahan.

Justeru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan akan melakukan siasatan telus berhubung perkara itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kes-kes berkenaan bukanlah kali pertama berlaku, malah pernah dilaporkan dalam pilihan raya umum yang diadakan sebelum ini.

Namun kali ini, kes khianat dalam PRU15 ini adalah berskala kecil, tidak ketara serta masih terkawal, katanya.

"Kami (PDRM) akan menjalankan siasatan telus tanpa mengira parti politik yang melakukan kesalahan khianat pada PRU15 ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau dan mengundi di Bukit Aman, di ibu negara pada Selasa.

Mengenai atur gerak trafik untuk melancarkan perjalanan pengundi pulang mengundi di kawasan masing-masing sempena PRU15, Acryl Sani berkata, PDRM akan mengerakkan anggota polis trafik di lokasi strategik di seluruh negara.

"Kerajaan telah umumkan cuti pelepasan pada 18 dan 19 November untuk pergerakan orang ramai balik mengundi di kawasan masing-masing untuk mengundi.

"PDRM akan membuat persediaan awal mengatur gerak anggota trafik bagi mengawal lalu lintas agar tidak berlaku kemalangan," katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan 18 dan 19 November sebagai hari kelepasan am bagi memudahkan urusan pengundi menunaikan tanggungjawab PRU15.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata, cuti pada Sabtu, 19 November turut diberikan kerana terdapat kemungkinan syarikat-syarikat swasta, terutamanya kilang yang tidak tutup pada hari berkenaan, menyebabkan pekerja mereka tidak boleh mengundi. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram