TAHAP kebersihan air minuman sudah menjadi topik perbualan sekian lamanya dalam usaha orang ramai memastikan air yang diminum bersih daripada kotoran yang boleh mengancam kesihatan.
Oleh itu, sebahagian daripada kita mula memilih untuk memasang penapis air di kediaman masing-masing dengan harapan alatan itu dapat menambah kualiti minuman harian.
Namun, hasrat itu sering dihalang apabila melihat kepada harga pemasangan yang tinggi selain kesukaran untuk melakukan penyelenggaran secara berkala.
Menyedari akan kesukaran tersebut, syarikat pemasaran pelbagai peringkat tempatan, Sahajidah Hai-O Marketing (SHOM) menjalinkan satu kerjasama baharu bersama konglomerat berpangkalan di Korea Selatan, LG Group menerusi anak syarikatnya, LG PuriCare.
Kolaborasi kedua-dua pihak itu adalah dengan usaha mengembangkan lagi pasaran produk penapis air baharu, LG PuriCare™ Self-Service Tankless Water Purifier dalam negara menerusi pelan terkini SHOM, Best Home Rental Plan.
Pengarah Urusan LG Electronics (M) Sdn Bhd, Choi Jung Won berkata, produk yang diperkenalkan pada 2022 itu mempunyai ciri menarik tersendiri serta mampu memudahkan pengguna dalam menjalani gaya hidup sihat.
Jung Won percaya kerjasama kedua-dua syarikat itu bakal membawa pelbagai manfaat kepada orang ramai.
"LG memperkenalkan teknologi penapis air terkini dan bermutu tinggi dengan fungsi mensterilkan cecair serta menyediakan pengalaman baharu buat pengguna.
"Sebagai contoh, mereka tidak perlu menunggu dan membuat janji temu untuk kerja-kerja penyelenggaran serta produk kami akan mengalami proses steril secara automatik," katanya.
Dia berkata sedemikian ketika sambutan 30 tahun SHOM yang turut diadakan untuk menyambut tulang belakang di sebalik kejayaan syarikat pemasaran itu pada Sabtu.
Selain itu, pelan penapis air itu turut menawarkan harga yang berpatutan kepada pengguna selain mampu dimiliki menerusi sewa beli bulanan sehingga tujuh tahun.
Tidak cukup dengan itu, Best Home Rental Plan turut memberi kelebihan tersendiri apabila orang ramai berpeluang menjadi ahli SHOM sekiranya memasang teknologi invoatif itu di kediaman masing-masing.
Sementara itu, Pengurus Besar SHOM Sdn Bhd, Tham Yoke Lon berkata, kerjasama antara kedua-dua syarikat itu adalah dibuat dengan harapan lebih ramai akan tertarik untuk meningkatkan taraf kehidupan orang ramai.
"Perniagaan pelbagai peringkat sudah diperkenalkan di negara ini hampir 40 tahun dan pelan sewa beli adalah satu produk pemasaran yang boleh dikatakan baru di negara ini.
"Jadi, perkara ini memberi idea kepada SHOM untuk mendirikan kerjasama dalam usaha memberi pilihan baharu kepada orang ramai serta pelanggan setia kami," katanya.
SHOM merupakan salah satu anak syarikat kepada Beshom Holdings Berhad yang diperkenalkan sejak 1992 untuk memberi peluang dalam mendirikan perniagaan sendiri dengan modal berpatutan.
Oleh itu, majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Setia City, Selangor itu menyaksikan ribuan ejen diraikan dengan menawarkan hadiah serta cabutan bertuah lumayan.
Selain itu, beberapa produk baharu SHOM diperkenalkan termasuk pelan penapis air berkenaan selain satu lagi bentuk kerjasama bersama jenama barangan dapur terkemuka, Pentoli. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram