KECOH saat rakan rider Grab Malaysia berkongsi di media sosial mengenai rancangan untuk mengadakan protes pada Jumaat (5 Ogos 2022) kerana tidak berpuas hati apabila mendapat khabar mengenai tindakan syarikat untuk menurunkan kadar pendapatan mereka.
Poster yang dikongsikan oleh seorang individu menerusi laman Facebook rider Grab dengan perkataan 'Sembelih Rider' mencadangkan supaya diadakan protes sekali gus menyarankan kepada mana-mana rakan kongsi yang berminat untuk turut serta supaya tidak membuat penghantaran selama 24 jam dan berkumpul di kawasan vendor masing-masing.
Ada juga dakwaan mengatakan walaupun tambang minimum tidak dikurangkan, kononnya Grab tetap akan menggunakan cara halus dengan memotong jarak tempuh (mileage) dan memutar belit jawapan jika disoal.
Walaupun tiada bukti atau pengesahan bahawa Grab menurunkan kadar pendapatan rakan penghantar mereka dari RM5 kepada RM3 tetapi dakwaan palsu itu membuatkan ramai marah sehingga mahu melakukan protes secara besar-besaran.
Tangkap layar penjelasan Grab mengenai isu teknikal tersebut.
Bagi meredakan keadaan, juga memperbetulkan fakta salah yang tersebar, Grab Malaysia tampil menegaskan pihaknya sama sekali tidak melakukan sebarang perubahan pada tambang atau kadar pendapatan rakannya seperti dakwaan yang tular di media sosial sehingga mengakibatkan orang ramai keliru.
Kekeliruan itu bermula disebabkan satu perkongsian video tular oleh seorang individu yang menunjukkan kadar pendapatan Grab berkurangan kepada RM3.
Menjelaskan perkara ini, menurut Grab, sebenarnya telah berlaku kesilapan teknikal pada paparan kadar tambang tersebut pada Jun lalu dan fakta sebenar mengenainya telah disiarkan menerusi platform rasmi, Rakan Penghantar Grab pada 21 Julai lalu.
Disebabkan dakwaan tersebut, rata-rata rakan kongsi terpengaruh untuk melakukan protes 'Sembelih Rider' lebih-lebih lagi ada beberapa portal menyebarkan maklumat tidak benar tanpa usul periksa.
Susulan itu, Grab terpanggil untuk menjelaskan perkara ini kerana enggan ia berlarutan, malahan berharap agar semua rakan penghantar tidak gusar dan dapat terus memberi khidmat terbaik untuk pelanggan.
GrabUnlimited kini sedang berlangsung bertujuan menambah lagi permintaan pelanggan Grab.
Grab Malaysia menghargai setiap sokongan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia dengan memilih Grab untuk meraih pendapatan harian bersama-sama.
"Bertahun-tahun lamanya, Grab telah memperkenalkan pelbagai usaha untuk menyokong komuniti rakan kongsinya. Ini termasuk perlindungan semasa bekerja dengan menyediakan perlindungan kemalangan peribadi percuma dan perkongsian dengan KWSP untuk memudahkan caruman, dan insentif tambahan sehingga 10% untuk mereka yang berkenaan.
Selain itu, rakan kongsi turut dibantu untuk menjimatkan perbelanjaan operasi mereka (seperti diskaun petrol, penyelenggaraan kenderaan, keperluan harian dan banyak lagi).
Berkaitan isu kekurangan pesanan dalam talian di kawasan tertentu yang turut dibangkitkan rakan kongsi, Grab Malaysia sudah mengadakan pelbagai promosi di platform untuk membantu meningkatkan pesanan dan seterusnya meningkatkan peluang pekerjaan rakan kongsi.
"Pakej GrabUnlimited yang dikemukakan beberapa bulan lalu bertujuan menambah lagi permintaan pelanggan Grab," demikian menurut syarikat ini yang turut memohon maaf atas kekeliruan yang timbul.
Malahan, Grab juga berharap rakan kongsi dan media dapat berhati-hati akan berita palsu dan penghasutan yang tak berasas yang dikongsikan agar tidak menimbulkan sebarang kekacauan. Semakan boleh dibuat dengan pihak syarikat atau saluran rasmi Grab bagi mendapat sebarang pencerahan berkaitan isu berbangkit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram