Sopan berbaju kurung Kedah, tapi Exco AMK tetap jadi mangsa gangguan seksual pakcik 'miang' dekat stesen MRT Maluri


  • Tular
  • Jumaat, 07 Okt 2022

Mangsa mendakwa, pelaku membuat mimik muka 'gatal' dan cuba mendekatinya. — Gambar hiasan

SEORANG wanita berdepan detik cemas apabila berdepan insiden gangguan seksual ketika berada di tempat awam.

Menerusi perkongsian di laman Twitter, Nur Farah Ariana Nurazam berkata, kejadian tersebut berlaku di stesen MRT Maluri, Kuala Lumpur pada Khamis malam.

Meskipun memakai baju kurung Kedah, Nur Farah yang juga Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu berkata, dia masih diganggu oleh seorang lelaki tua.

Nur Farah berkata, kejadian bermula apabila dia sedang menunggu perkhidmatan kereta e-hailing sebelum seorang lelaki memanggilnya dari dalam kereta.

"Saya periksa semula nombor plat, ia bukan kereta yang saya tunggu. Lepas tu dia keluar kereta, tenung saya sambil buat muka 'gatal'. Dia memandang saya atas bawah buat seketika.

"Dia mahu datang lebih dekat, tapi saya tak boleh kawal. Nasib baik ada dua kakak dan seorang lelaki dekat situ.

"Saya dekati mereka dan berkata: "Tolong saya kejap, pakcik ni kacau" dan tidak lama kemudian, air mata memenuhi muka saya," katanya.

template (47)

Tangkap layar hantaran Nur Farah di laman Twitter.

Ketika dia sedang berada dalam keadaan terketar-ketar, Nur Farah berkata, kedua-kedua wanita yang berada di tempat kejadian cuba untuk menenangkannya.

Dia dinasihatkan untuk tidak menunjukkan rasa takut kerana ia mampu membuatkan lelaki tersebut lebih teruja untuk mengganggunya.

"Mereka tunggu Grab juga, tetapi pemandu yang ditunggu tiba awal namun mereka memilih untuk tunggu saya.

"Driver saya ambil masa lama untuk tiba. Saya minta mereka untuk pergi dahulu tetapi baru saya perasan rupa-rupanya pakcik tu tengah duduk dekat tangga di belakang kami dan tiada sesiapa berada di situ.

"Oleh itu, mereka tawarkan saya untuk naik bersama mereka dan turunkan saya dekat stesen MRT yang lain. Saya pulang dan selamat," jelasnya.

Kesal diganggu

template (46)

Pakaian yang dipakai mangsa ketika hari kejadian. — Twitter

Mengakui trauma, dia tidak tahu apa akan berlaku kepadanya sekiranya kedua-dua wanita berkenaan tidak berada di tempat kejadian ketika itu.

Katanya, dia tidak layak untuk diganggu secara seksual memandangkan pakaian yang dipakai pada hari kejadian adalah sopan.

template (48)

Antara luahan kekesalan Nur Farah di laman Twitter selepas menerima gangguan seksual.

"Seseorang yang memakai pakaian yang anda lihat menarik bukan tiket untuk dijadikan objek dan menggangu mereka.

"Saya terpaksa menegaskan apa yang saya pakai untuk orang ramai mengkritik dan berhenti menyalahkan mangsa tentang apa yang mereka pakai ketika diganggu.

"Tidak pasti siapa lagi yang menjadi mangsanya selepas saya pergi. Saya berdoa agar sesiapa yang terserempak dengannya kini berada dalam keadaan selamat," katanya.

Majoriti sudah menghubungi Nur Farah untuk mendapatkan maklumat lanjut, namun masih belum ada sebarang respons.

Sementara itu, Rapid KL - syarikat yang mengendali perkhidmatan MRT - ketika dihubungi juga sedang mendapatkan maklumat daripada mangsa bagi menyiasat kejadian tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram