Damansara Perdana 'level' elit, penduduk serabut jalan kerap rosak


  • Massa
  • Khamis, 10 Nov 2022

Penduduk Damansara Perdana risau kerosakan jalan raya yang membahayakan pengguna.

KURANG lagi dua minggu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilaksanakan, rakyat mulai tampil menyuarakan masalah di kawasan masing-masing.

Masakan tidak, ia menjadi tanda tanya kepada penduduk untuk mengundi calon yang mampu menyelesaikan masalah dihadapi itu.

Screenshot 2022-10-26 221832

Meninjau kawasan di sekitar Damansara Perdana, Selangor, rata-rata penduduk bimbang akan keselamatan mereka, berikutan jalan raya di beberapa kawasan sering mengalami kerosakan.

Seorang peniaga buah mendakwa, pihak berwajib bukannya memperbaiki jalan raya yang mengalami kerosakan, sebaliknya hanya mengorek semula jalan raya yang tidak mempunyai sebarang masalah.

Bagaimanapun, Amrisal Tando, 38, yang sudah berniaga selama 16 tahun menyifatkan kawasan tersebut sebagai selamat, disebabkan kurangnya kadar jenayah selain pihak polis kerap melakukan rondaan.

230d1ab9-c700-414c-bf19-ed80c32c4b6c

Amrisal

"Dekat sini mana-mana ahli Parlimen pun boleh pegang. Cuma kalau boleh pemimpin yang dipilih kena selalu tengok orang dekat sini dan turun padang," katanya kepada Majoriti.

file6pipaurdu8n19ym3pcpi

Gambar pembahagi jalan yang patah di Damansara Perdana pada 2016.

Berpendapat sama, seorang pekerja persendirian berkata, meskipun Damansara Perdana tidak mempunyai banyak masalah, namun penduduk tidak lari berdepan dengan kerosakan jalan.

Yoong Tat Khuen, 55, berkata, hal ini disebabkan projek jalan raya selain kenderaan berat yang kerap lalu di kawasan tersebut.

"Saya sudah duduk di sini selama 16 tahun. Sini selamat dan jenayah pun kurang.

02a47a8d-dec4-488f-937d-9fa108c54871

Tat Khuen

"Cuma saya harap kerajaan baharu dapat membantu mengurangkan harga barangan.

"Kalau saya makan luar sebanyak tiga kali sehari sudah mencecah RM40, itu sudah dikira mahal," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Khalil Ragib menyifatkan bahawa, jalan raya di kawasan tersebut tidak terurus.

Lelaki berusia 54 tahun itu memberi contoh bahawa, jalan raya yang baru diperbaiki akan dikorek semula tidak lama kemudian.

c220ac33-7f62-4131-b41d-8d2512a0361d

Khalil

"Saya tengok banyak kesesakan lalu lintas dan banyak sangat pembangunan. Penduduk dari Seri Damansara dan Manjalara kalau nak masuk Damansara Perdana akan berdepan masalah jalan bersimpang siur. Itu yang buat sesak.

"Selain itu, kesesakan lalu lintas dekat Mutiara Damansara kena juga diambil perhatian.

"Sebelum ini, terdapat tanah jerlus dekat stesen MRT di kawasan itu. Jadi, kena tengok balik jika ada saluran air yang ada masalah atau ia (tanah jerlus) boleh berulang semula.

"Saya harap calon yang bakal memimpin kawasan ini adalah individu yang boleh turun buat kerja dan mampu selesaikan masalah," ujarnya.

Selain itu, seorang lagi pekerja swasta berkata, masalah jalan sesak merupakan perkara normal dan ia berkurang sejak pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).

Nayli Yasmin Abdullah, 22, yang bakal mengundi buat kali pertama juga berkata, meskipun aktiviti jenayah berkurang, namun dia khuatir apabila anjing liar berkeliaran di kawasan tersebut.

"Kalau saya jalan kaki untuk pergi tempat kerja takut juga. Tapi, kalau naik kereta rasa selamat," katanya.

1fe4504d-8008-4c6e-b416-e39a3ec37e25

Nayli Yasmin

Pada pilihan raya kali ini, dia memberi bayangan akan memilih bekas Menteri Kewangan terbaik Asia pada 1996 sebagai pemimpin bagi membentuk kerajaan baharu.

Seorang pemuda, Muhammad Nur'Anif Halim berkata, masalah yang sering dilihat penduduk kawasan itu adalah kekurangan kenderaan awam.

a25bb866-c0e9-4659-9288-26fcb1998ac3

Muhammad Nur'Anif

Pekerja swasta berusia 25 tahun itu berkata, kebanyakan penduduk yang baru berhijrah di kawasan itu juga sukar untuk mengetahui cara-cara untuk menaiki pengangkutan awam.

"Jalan jammed (sesak) tak ada masalah sangat di sini, tapi kalau kita tengok beberapa tempat di sini ada jalan berlubang.

"Pendapat saya, calon yang diketengahkan juga perlu amanah, dengar dan terima pandangan rakyat," tambahnya.

Damansara Perdana termasuk dalam Parlimen Subang yang dibentuk pada tahun 2004 ketika PRU11.

Menurut statistik Banci 2020, kawasan Parlimen Subang dikomposisi oleh 48.9 peratus kaum Cina, sementara Bumiputera (36.8 peratus), India (13.4 peratus) dan lain-lain (8 peratus).

Penyandang bagi kerusi Parlimen Subang adalah Wong Chen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pada PRU15, Wong Chen akan bertanding bagi mempertahankan kerusi itu menerusi tiket PH.

Wong Chen akan bertembung dengan Dr Kow Cheong Wei (Barisan Nasional) dan Ang Hiang Ni (Perikatan Nasional).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai hari pengundian bagi PRU15 dan pengundian awal pada 15 November manakala tempoh berkempen selama 14 hari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram